SYDNEY/SINGAPURA: Syarikat penerbangan Asia Pasifik yang kehilangan berbilion dolar tahun ini akibat Covid-19, mula merancakkan operasi dan tawaran tiket penerbangan selepas beberapa negara membuka sempadan.
Agensi pelancongan dan syarikat penerbangan Asia memberitahu Reuters, mereka melihat kenaikan tempahan dan pertanyaan perjalanan selepas negara seperti Malaysia dan Vietnam membenarkan semula penerbangan domestik.
India pula meningkatkan kapasiti penerbangan domestik, sementara Singapura, Thailand dan Fiji membenarkan penerbangan tanpa kuarantin untuk pelancong antarabangsa yang divaksinasi dari negara-negara terpilih.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) meramalkan kerugian terkumpul industri penerbangan di Asia Pasifik berjumlah AS$11.2 bilion (RM46.59 bilion) tahun ini dan AS$2.4 bilion (RM9.98 bilion) tahun hadapan. Ia selepas syarikat penerbangan dari AirAsia Group, VietJet, Singapore Airlines, Fiji Airways dan Qantas meningkatkan kapasiti penerbangan masing-masing.
“Perkara yang paling penting adalah hampir semua kerajaan di rantau Asia Pasifik mula meninggalkan strategi `zero Covid’ mereka dan beralih ke kerangka `Covid normal’,” kata Ketua Pengarah Persatuan Penerbangan Asia Pasifik, Subhas Menon.
Walau bagaimanapun, industri penerbangan dijangka masih jauh untuk pulih sepenuhnya.
IATA menganggarkan kerugian industri penerbangan global dari wabak Covid-19 akan meningkat kepada AS$200 bilion (RM832 bilion) untuk tempoh 2020 hingga 2022. Kerugian di Asia sahaja hampir AS$50 bilion (RM208 bilion) pada 2020. – AGENSI










