Nilai semula penubuhan GLC - Utusan Malaysia

Nilai semula penubuhan GLC

KERAJAAN diminta campur tangan untuk mengatasi kenaikan kos bahan binaan yang dijangka akan melonjakkan harga rumah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam rantaian nilai industri pembinaan

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menilai semula keperluan menubuhkan syarikat milik kerajaan (GLC) dalam rantaian nilai industri pembinaan bagi membolehkan harga barang binaan seperti besi, simen dan pasir dapat dikawal selia secara langsung.

Namun, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, langkah itu perlu dibuat secara lebih telus dan sistematik agar kegagalan syarikat GLC berkaitan terdahulu tidak diulangi lagi.

“Kita sebenarnya tidak ada pilihan kalau tidak mempunyai entiti di dalam era globalisasi dan terlalu bergantung kepada rantaian nilai global.

“Jika berterusan, sudah tentu masalah harga rumah melambung tinggi sukar untuk diatasi sekali gus menjejaskan pemilikan rumah dalam kalangan golongan B40 dan M40,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurut beliau, kerajaan juga perlu terus memberikan subsidi kepada pihak pemaju perumahan yang membina rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40, bukan sahaja melalui subsidi harga tetapi juga bentuk insentif lain seperti pengecualian cukai korporat mengikut jumlah jualan rumah-rumah mampu milik tersebut.

“Insentif yang lebih besar juga boleh diberikan kepada syarikat pembinaan yang menggunakan teknik pasang siap seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS). Sistem itu mempunyai kelebihan dari segi teknologi yang menjimatkan kos dan masa seterusnya membantu meningkatkan jumlah rumah mampu milik,” ujarnya.

Aimi Zulhazmi turut berpendapat, kerajaan perlu turut memberi subsidi langsung kepada pembeli terutamanya pembeli rumah pertama dan dari golongan M40 dan B40, seperti pengecualian cukai pendapatan yang bersamaan dengan bayaran bulanan rumah untuk lima tahun pertama kerana ini dapat membantu kecairan tunai dari segi pendapatan boleh guna pembeli.

“Malaysia telah digolongkan oleh Bank Dunia sebagai antara negara yang mempunyai hutang isi rumah yang tinggi disebabkan harga rumah yang sangat mahal dan naik lebih pantas berbanding kenaikan pendapatan isi rumah, ditambah pula dengan kesan pandemik Covid-19 yang menurunkan median pendapatan golongan B40 dan M40.

“Justeru, kenaikan harga barang seperti simen dan besi apabila ekonomi dunia berkembang semula pasti menekankan harga barang pembinaan untuk terus memberikan kesan maksimum kepada kenaikan harga rumah,” jelasnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) tidak menolak kemungkinan harga rumah akan meningkat jika harga bahan binaan di pasaran terus meningkat.

Presidennya, Datuk Soam Heng Choon berkata, buat masa ini pemaju masih mengekalkan harga hartanah sedia ada namun, sekiranya fenomena harga bahan binaan yang kian meningkat berlanjutan, pemaju hartanah mungkin tiada pilihan selain harus menyesuaikan harga rumah dan mengenakan caj tambahan.

Sebilangan harga bahan binaan telah meningkat 10 hingga 150 peratus dalam tempoh 12 bulan terakhir dan impaknya amat serius sekali gus memberi impak kepada industri pembinaan tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN