PETALING JAYA: Ni Hsin EV Tech Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Ni Hsin Group Berhad, memeterai perjanjian induk (HOA) dengan MNA Enegergy Sdn. Bhd. (MNAE) bagi membangunkan teknologi bateri untuk motosikal elektrik (EV dua roda), selain turut serta dalam perniagaan dan pertumbuhan MNAE.
MNAE ditubuhkan pada 2016 dan telah menerima geran penyelidikan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk membangunkan teknologi bateri generasi akan datang.
Menurut Ni Hsin, MNAE menghasilkan sistem simpanan tenaga bateri bagi pergerakan elektrik dan aplikasi tidak bergerak seperti menara telekomunikasi dan ladang tenaga solar.
“Ia telah merintis Electric Mobility-as-a-Service (EMaaS) di Malaysia, dengan membangunkan SmartSwap – rumusan pasang siap yang merubah industri bagi prasarana pertukaran bateri untuk motosikal elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis pemeteraian HOA itu telah disaksikan oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri MOSTI, Muhammad Syukran Ibrahim.
Pengarah Urusan Ni Hsin , Khoo Chee Kong berkata, syarikat melihat EV dua roda menerajui langkah ke arah penggunaan sumber tenaga alternatif yang boleh mengurangkan jejak karbon dan anjakan ke arah ekonomi lebih hijau.
Jelas beliau, syarikat dengan kerjasama MNAE sedang membangunkan sebuah sistem bateri maju dan prasarana pertukaran bateri distandardkan untuk EV dua roada yang akan memudahkan penunggang menukar bateri kosong kepada bateri penuh di stesen-stesen yang akan dibina.
Tambahnya, syarikat percaya ia akan meningkatkan penggunaan EV dua roda di kawasan bandar.
“Kolaborasi kami dengan MNAE menyokong usaha kami ke dalam perniagaan e-mobiliti kerana sistem bateri adalah kritikal kepada EV dua roda yang kami bangunkan secara kolaborasi dengan Dongguan Tailing Electric Vehichle Co. Ltd.
“Kini kami berusaha mendapatkan permit Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) daripada Jabatan Pengangkutan Jalan untuk EV dua roda ini kerana VTA adalah mustahak bagi program SmartSwap MNAE ini,” katanya.
Sistem pertukaran bateri yang dibangunkan oleh MNAE akan memaparkan ciri penjejakan bateri dan pengurusan menerusi rangkaian disambungkan kepada awan yang mana hayat bateri boleh dipantau.
“Kolaborasi kami dengan MNAE juga berkaitan menyokong keupayaan tempatan di dalam pembangunan teknologi hijau dan pada masa sama, mempromosi kelestarian seiring dengan
tanggungjawab alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kami.
“Ia juga sejajar dengan usaha Malaysia menggalakkan pemilikan kenderaan elektrik dan pembangunan prasarana berkaitan di negara ini,” tambah Chee Kong.
Ekosistem EV disokong oleh Dasar Automotif Negara (DAN), yang mana terdapat inisiatif khusus untuk mengukuhkan ekosistem itu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam ucapan penggulungannya bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berkata, inisiatif-inisiatif tersebut merangkumi pengeluaran bahagian-bahagian kritikal, penetapan standard serta penyelidikan dan pembangunan membawa kepada pengkomersialan teknologi EV tempatan. – UTUSAN










