PUTRAJAYA: Datuk Mohd. Nizom Sairi dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) baharu menggantikan Datuk Seri Sabin Samitah berkuat kuasa esok.
LHDNM dalam kenyataan memaklumkan, Mohd. Nizom sebelum ini merupakan Timbalan CEO (Operasi Percukaian) agensi itu dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang percukaian langsung merangkumi operasi percukaian, pematuhan dan pungutan cukai, percukaian antarabangsa serta latihan percukaian.
“LHDNM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sabin atas sumbangan bakti selama beliau berkhidmat di LHDNM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Nizom, 58, memegang ijazah sarjana dari Lawrence Technological University, Amerika Syarikat mula berkhidmat di LHDNM sejak 13 November 1985.
Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting di LHDNM merangkumi jawatan Pengarah Jabatan Siasatan LHDNM, Pengarah Akademi Percukaian Malaysia, Pengarah Jabatan Pematuhan Cukai serta Pengarah Negeri LHDNM Perak.
“Beliau juga pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) sebelum ini.
“LHDNM merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Mohd. Nizom atas pelantikan ini. Dengan pengalaman luas beliau sudah pastinya membolehkan LHDNM mencapai visi untuk menjadi Pentadbir Cukai Terunggul selari dengan aspirasi membina sebuah Keluarga Malaysia yang terangkum,” katanya. – UTUSAN










