SINGAPURA: Harga minyak mentah mencecah paras tertinggi dalam tempoh kira-kira tiga tahun berikutan permintaan terus pulih daripada pandemik Covid-19, didorong oleh lebih banyak penjana kuasa yang beralih dari gas dan arang batu yang mahal kepada bahan bakar minyak dan diesel.
Niaga hadapan minyak Brent meningkat AS$ 0.87 sen (RM3.63), atau 1 peratus kepada AS$85.73 (RM357.37) setong, harga tertinggi sejak Oktober 2018.
Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) turut meningkat AS$1.12 (RM4.67) atau 1.4 peratus kepada AS$83.40 (RM347.65) setong, harga tertinggi sejak Oktober 2014. Harga kedua-dua minyak itu meningkat sebanyak tiga peratus pada minggu lalu.
Penganalisis bank ANZ berkata, pengurangan sekatan perjalanan di seluruh dunia mampu membantu pemulihan penggunaan bahan bakar.
“Pasaran bahan bakar jet telah disokong oleh berita bahawa Amerika Syarikat (AS) akan membuka sempadannya kepada pelancong asing yang telah divaksin pada bulan hadapan. Langkah itu turut diikuti oleh Australia dan seluruh Asia.
“Pertukaran gas ke minyak untuk penjanaan tenaga sahaja dapat meningkatkan permintaan sebanyak 450,000 tong sehari pada suku keempat tahun ini,” katanya.
Namun, ujarnya, bekalan dari AS juga boleh meningkat kerana firma tenaga pada minggu lalu telah menambah pelantar minyak dan gas asli untuk enam minggu berturut-turut ketika harga minyak mentah meningkat.
Lapor Reuters, jumlah pelantar minyak dan gas AS yang juga merupakan petunjuk awal untuk output masa depan, meningkat 10 hingga 543 pada minggu ini dari 15 Oktober lalu, tertinggi sejak April 2020, menurut firma perkhidmatan tenaga, Baker Hughes Co..
Sementara itu, ekonomi China berkembang pada kadar yang sangat perlahan dalam setahun pada suku ketiga tahun ini berikutan kekurangan bekalan elektrik, kesulitan bekalan dan penularan wabak Covid-19 yang tidak menentu.
Pengguna minyak kedua terbesar di dunia itu telah mengeluarkan kuota minyak import baharu untuk kilang bebas bagi tahun ini yang menunjukkan jumlah peruntukan tahunannya lebih rendah berbanding tahun lalu, pengurangan pertama permit import sejak firma-firma itu dibenarkan masuk ke dalam pasaran pada 2015. – AGENSI










