Lapangan terbang seluruh negara sedia terima penumpang - Utusan Malaysia

Lapangan terbang seluruh negara sedia terima penumpang

MOHD. SHUKRIE MOHD. SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesemua 39 lapangan terbang kendalian Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di seluruh negara bersedia untuk menerima penumpang selepas pergerakan rentas negeri dan ke luar negara dibenarkan.

Menurut MAHB, walaupun jumlah penumpang sangat sedikit, lapangan terbangnya terus beroperasi sepanjang pandemik dengan tempoh kurang penumpang itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memastikan pengalaman penerbangan yang selamat untuk semua penumpang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, sepanjang tahun lalu, kesediaan lapangan terbang telah menjadi faktor utama bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan MAHB terus relevan dan piawaiannya kekal tinggi.

Kata beliau, semua kakitangannya di lapangan terbang sangat bersedia untuk beroperasi pada tahap kecekapan yang optimum untuk menerima penumpang semula.

“Kami telah memastikan kepatuhan penuh terhadap langkah kebersihan Covid-19 di lima lapangan terbang antarabangsa iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL); Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP); Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), lengkap dengan pensijilan Akreditasi Kesihatan Lapangan Terbang (AHA) ACI.

“Kami juga telah mencapai kadar vaksinasi 98 peratus untuk semua kakitangan dalam usaha kami ke arah kembali normal,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Mohd. Shukrie, keselamatan penumpang dijamin memandangkan lapangan terbang kendalian MAHB sudah bersedia untuk beroperasi penuh.

“Kami menjangkakan peningkatan dalam pergerakan penumpang dalam beberapa bulan mendatang. Sehubungan itu, kami akan meningkatkan semua prosedur operasi standard (SOP) demi pemulihan industri penerbangan yang berterusan dan mampan.

“Kami terus komited untuk menyediakan sambungan yang menggembirakan kepada penumpang, baik perniagaan atau riadah,” katanya.

Menurut MAHB, semua 39 lapangan terbangnya di seluruh negara terus melaksanakan langkah keselamatan Cpovid-19 seperti langkah sanitasi dan nyah kuman; saringan suhu dan pemakaian pelitup muka mandatori; skrin penghadang bersin; stesen pensanitasi dan peringatan penjarakan fizikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN