KMI Healthcare sasar buka empat hospital baharu, luas perkhidmatan - Utusan Malaysia

KMI Healthcare sasar buka empat hospital baharu, luas perkhidmatan

AHMAD Samsuri Mokhtar (kiri) dan Raja Idris Raja Kamaruddin (kanan) menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara KMI Healthcare dengan Majlis Perbandaran Kemaman di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Nerus, semalam. – PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) milik Terengganu menyasarkan membuka empat lagi hospital baharu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Rayney Azmi Ali berkata, pembangunan itu merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan strategik lima tahun KMI Healthcare sekali gus mengimbangkan kedudukan hospital di jajaran pantai timur terutama di bandar-bandar utama.

Katanya, tiga daripada hospital baharu itu dirancang dibangunkan di Chukai, Kemaman di negeri ini di samping di Temerloh, Pahang dan Kota Bharu, Kelantan.

Menurutnya, turut akan dibuka ialah di Pulau Pinang sekali gus menyaksikan buat kali pertama KMI Healthcare meluaskan perkhidmatan kesihatan ke zon utara.

“Buat permulaan usaha menambah rangkaian hospital itu dimulakan di Pusat Perubatan KMI Chukai (KMI Chukai) di kawasan seluas 2.18 hektar di Kampung Jaya, Chukai dengan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pertengahan tahun depan dan beroperasi sepenuhnya pada 2025.

“Kesemua hospital kita menyediakan bilik 100 peratus perseorangan sekali gus membolehkan semua kategori pesakit menikmati kemudahan privasi sepanjang menerima rawatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara KMI Healthcare dengan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Terdahulu, pemeteraian memorandum itu disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi KMI Healthcare, Raja Datuk Idris Raja Kamaruddin.

KMI Healthcare ketika ini memiliki lima hospital iaitu Pusat Perubatan KMI Kuala Terengganu (dahulunya Hospital Pakar Kuala Terengganu) di sini dikuti Pusat Perubatan KMI Kuantan di Pahang, Pusat Perubatan KMI Kelana Jaya (Selangor), Pusat Perubatan KMI Taman Desa (Kuala Lumpur) dan Pusat Perubatan KMI Tawau (KMI Tawau).

Dalam perkembangan lain, Rayney Azmi berkata, pendapatan keseluruhan kumpulan setakat September lalu mencecah RM163 juta sekali gus menyasarkan untuk mencapai sebanyak RM220 sehingga akhir tahun.

Sementara itu, Yang Dipertua MPK, Jusman Ibrahim berkata, pembukaan hospital pakar swasta pertama di Kemaman itu bakal memberi kemudahan kepada 220,000 penduduk di daerah berkenaan menerusi penyediaan 100 katil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN