KUALA TERENGGANU: Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) milik Terengganu kini meluaskan perkhidmatannya ke Sabah apabila mengambil alih operasi Hospital Pakar Tawau (TSH) yang kini dikenali sebagai Pusat Perubatan KMI Tawau (KMI Tawau).
Pengerusinya, Raja Datuk Idris Raja Kamaruddin berkata, penjenamaan semula itu merupakan sebahagian daripada program transformasi menyeluruh yang akan dilakukan terhadap pusat perubatan berkenaan bagi memenuhi permintaan penjagaan kesihatan berkualiti dan berpatutan di Tawau.
Katanya, bangunan baharu KMI Tawau setinggi enam tingkat kini dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang suku pertama 2024 dengan membabitkan kapasiti katil sebanyak 76 buah.
“Kita juga akan memperkenalkan beberapa perkhidmatan pakar residen baharu seperti ortopedik di samping telinga, hidung dan tekak (ENT) selain perkhidmatan obstetrik dan ginekologi (O&G), pediatrik, bedah dan perubatan yang sudah sedia ada.
“Pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat dalam strategi pengembangan ‘brownfield’, malah kita juga dapat menjangkau lebih ramai orang dan melayani pelanggan sedia ada dengan lebih baik terutama di Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Terdahulu Raja Idris menyaksikan pemeteraian perjanjian antara KMI Tawau Sdn. Bhd. dengan TSH Sdn. Bhd. bagi pemerolehan operasi TSH dan penyewaan bangunan yang bernilai RM8 juta di sebuah hotel di ibu negara.
Beliau berkata, pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan pakar industri dan pembekal penjagaan kesihatan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang selamat dan berkualiti kepada pelanggan.
KMI Healthcare memiliki empat hospital lain iaitu Pusat Perubatan KMI Kuala Terengganu (dahulunya Hospital Pakar Kuala Terengganu) di sini dikuti Pusat Perubatan KMI Kuantan di Pahang, Pusat Perubatan KMI Kelana Jaya (Selangor) dan Pusat Perubatan KMI Taman Desa (Kuala Lumpur). – UTUSAN










