Ketatkan undang-undang buruh - Utusan Malaysia

Ketatkan undang-undang buruh

MASALAH buruh paksa boleh memberi imej buruk kepada negara dan menjejaskan keyakinan pelabur. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Elak pemerdagangan manusia, yakinkan pelabur

PETALING JAYA: Kerajaan harus memperketatkan peraturan dan undang-undang tenaga buruh di Malaysia terutama melibatkan pekerja asing bagi memastikan syarikat-syarikat mematuhi undang-undang ditetapkan.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, itu kerana isu pemerdagangan orang khususnya buruh paksa di Malaysia mampu menjejaskan keyakinan pelabur asing untuk melabur dalam negara.

“Jika isu itu berlanjutan, ia akan menjejaskan reputasi negara sekaligus akan menjejaskan kewangan negara kerana tiada permintaan atau diboikot oleh negara luar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat, mengenakan sekatan ke atas produk sarung tangan pakai buang yang dihasilkan oleh unit Supermax Corporation Bhd., Maxter Glove Manufacturing Sdn. Bhd., Maxwell Glove Manufacturing Bhd. dan Supermax Glove Manufacturing.

Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) yang dikeluarkan ke atas Supermax dan anak-anak syarikatnya membabitkan penggunaan buruh paksa.

Menurut Ahmed Razman, tindakan CBP itu mungkin akan mempengaruhi negara lain untuk turut menyekat kemasukan barang-barang oleh syarikat-syarikat tersebut dan akan menyebabkan barangan dari Malaysia tidak mendapat permintaan di peringkat global.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, isu buruh paksa yang lebih tertumpu kepada pekerja asing dalam negara merupakan isu yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

“Memandangkan pekerja asing merangkumi sekitar 15 peratus daripada tenaga buruh keseluruhan di Malaysia, ia dianggap serius kerana melibatkan pekerja asing sekitar dua hingga tiga juta orang.

“Justeru, penguatkuasaan dan pemerhatian harus dipertingkatkan bagi memastikan syarikat-syarikat mematuhi un­dang-undang buruh yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, isu buruh paksa perlu dipandang serius oleh syarikat-syarikat terutamanya yang mengeksport barangan ke Amerika Syarikat (AS).

Ujarnya, antara indikator perkhidmatan buruh paksa yang perlu dikenal pasti adalah eksploitasi golongan yang lemah, penipuan, sekatan pergerakan, isolasi, keganasan fizikal dan seksual, ugutan, pengambilan dokumen perjalanan dan tidak membayar gaji.

“Isu terbabit telah memberikan imej buruk terutamanya terhadap sektor pembuatan sarung tangan getah negara, di mana Malaysia adalah pengeskport utama yang menguasai lebih da­ripada 60 peratus pasaran global.

“Sektor pembuatan sarung tangan getah juga telah me­nyumbang kira-kira 51 peratus dari keseluruhan eksport negara,” jelasnya.

Syed Hussain memberitahu, kerajaan kini sedang merangka Pelan Tindakan Nasional Buruh Paksa untuk mengatasi isu itu.

“MEF menyarankan majikan-majikan khususnya ahli MEF untuk memastikan tiada amalan buruh paksa dilaksanakan oleh majikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN