PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pelancaran kemudahan pendaftaran akuan dalam talian dan onboarding pelanggan digital (e-KYC) serta fungsi pelaburan berasaskan matlamat dalam aplikasi mudah alih myASB.
Seiring penambahbaikan aplikasi itu, ASNB turut melancarkan kempen #JomLabur yang akan berlangsung sehingga 31 Disember ini.
Katanya, kempen itu menawarkan peluang kepada semua pemegang unit untuk memenangi hadiah-hadiah bernilai sehingga RM200,000.
Kempen itu disokong oleh Kumpulan UMW, Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet), Jirnexu Sdn. Bhd. (syarikat induk RinggitPlus.com) dan GrabCar Sdn. Bhd.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, penambahbaikan aplikasi mudah ali myASNB itu sebahagian daripada komitmen PNB untuk terus menyampaikan inovasi kepada pemegang unit.
“Kini sesiapa sahaja boleh membuka akaun ASNB atau mendaftar di portal dan aplikasi myASNB secara terus melalui telefon mudah alih mereka.
“Dengan kempen #JomLabur, kami menyediakan ciri-ciri yang memudahkan para pemegang unit mencapai matlamat kewangan mereka melalui pelaburan yang tetap dan konsisten,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UWM Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, syarikat (penaja platinum kempen #JomLabur), berbesar hati dapat menyokong ASNB dalam usaha menggalakkan warga Malaysia melabur demi masa hadapan mereka.
“Kami mengucapkan tahniah kepada ASNB atas penampilan ciri-ciri baharu yang akan dapat membantu para pelabur mencapai objektif pelaburan mereka,” katanya. – UTUSAN










