JEP unggul di Anugerah Tenaga ASEAN 2021 - Utusan Malaysia

JEP unggul di Anugerah Tenaga ASEAN 2021

JIMAH East Power (JEP) mengatasi saingan loji janakuasa Thailand dan Indonesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Stesen janakuasa milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jimah East Power (JEP) menang tempat pertama dalam Anugerah Tenaga ASEAN 2021 anjuran Pusat Tenaga ASEAN.

JEP mengungguli kategori Clean Coal Technology Utilisation for Large Power Generation iaitu amalan terbaik penggunaan arang batu yang lebih bersih dan lestari.

Menurut TNB, majlis yang berlangsung secara maya diadakan bersempena Forum Perniagaan Tenaga ASEAN dan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) Ke-39 di Brunei pada 14 hingga 16 September lalu.

“JEP berjaya mengatasi saingan daripada PT Indonesia Power PLTU Jateng 2 Adipala Omu, Indonesia di tempat kedua, dan Mae Moh Power Plant, Thailand ketiga,” katanya dalam kenyataan.

NOR AZMAN MUFTI

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti berkata, anugerah itu merupakan manifestasi sokongan kepada kerajaan dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon dan menghindari risiko ekonomi jangka panjang.

“Mungkin kita akan pelbagaikan pembakaran di JEP menggunakan kaedah lain daripada arang batu untuk mengurangkan paras pencemaran dalam usaha menyokong Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang merupakan sebahagian dari inisiatif JEP dan TNB Genco.

“Ia selaras dengan aspirasi sifar bersih TNB menjelang 2050 yang dipacu menerusi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 35 peratus serta pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035,” katanya.

Anugerah Tenaga ASEAN adalah majlis anugerah tertinggi di rantau ini yang mendorong dan mengiktiraf penyertaan semua pihak dalam pembangunan tenaga di ASEAN.

Ia merangkumi tiga kategori iaitu Anugerah Arang Batu ASEAN, Anugerah Amalan Terbaik Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga ASEAN serta Anugerah Projek Tenaga Boleh Baharu
ASEAN.

JEP mempunyai dua loji janakuasa arang batu Ultra-supercritical (USC) yang mempunyai kapasiti penjanaan 2,000 megawatt (MW) di Port Dickson adalah loji janakuasa arang batu TNB ketiga dan keempat yang menggunakan teknologi itu.

Selain JEP, dua loji penjanaan USC lain milik TNB ialah Manjung 4 dan Manjung 5 di Lumut yang merupakan antara loji arang batu USC pertama di ASEAN.

Teknologi USC ialah teknologi pembakaran arang batu dengan kecekapan 40 peratus berbanding loji janakuasa arang batu konvensional dengan kecekapan 36 peratus.

TNB memiliki 70 peratus kepentingan saham dalam JEP, manakala dua syarikat Jepun iaitu Mitsui & Co. Ltd. dan Chugoku Electric Power Co. Ltd., masing-masing dengan 15 peratus kepentingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN