PETALING JAYA: Indeks Harga Pengguna (IHP) menunjukkan peningkatan sebanyak 2.2 peratus pada September lalu kepada 122.8 mata berbanding 120.1 mata pada bulan sama tahun sebelumnya.
Menurut Jabatan Perangkaan, IHP merekodkan kenaikan bagi bulan kelapan berturut-turut sejak Februari 2021 disebabkan kesan asas pada tahun lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kumpulan pengangkutan terus mencatatkan kenaikan dua digit sejak Mac dan terus meningkat 11 peratus pada September 2021 berbanding tahun lalu.
Katanya, peningkatan tertinggi dicatatkan oleh subkumpulan daging sebanyak 5.8 peratus disebabkan kenaikan purata harga ayam pada September iaitu RM9.35 sekilogram berbanding RM8.50 bulan sama tahun lalu.
“IHP bagi suku tahun ketiga 2021 meningkat 2.2 peratus kepada 122.6 berbanding 120.0 pada suku sama tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, bagi perbandingan suku tahunan, IHP mencatatkan penurunan negatif 0.4 peratus berbanding suku tahun kedua 2021.
Bagi perbandingan bulan ke bulan pula katanya, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding Ogos 2021, disumbangkan oleh makanan & minuman bukan alkohol (0.6%); perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (0.1%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (0.1%).
“Indeks teras yang meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali item makanan segar yang mempunyai harga tidak menentu serta harga yang dikawal meningkat 0.6 peratus pada September 2021 berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Kata Mohd. Uzir, secara keseluruhan, kesemua negeri mencatatkan peningkatan IHP pada September dengan lapan negeri iaitu Terengganu (3.1%), Pahang (2.8%), Kelantan (2.8%), Sarawak (2.5%), Perak (2.5%), Johor (2.4%), Kedah & Perlis (2.4%) dan Melaka (2.3%) melepasi paras IHP nasional. – UTUSAN










