PETALING JAYA: Sumbangan industri teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) kepada ekonomi terus meningkat kepada RM320 bilion pada 2020, pertumbuhan dua digit iaitu 10.4 peratus berbanding 7.3 peratus tahun sebelumnya.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, penularan Covid-19 yang diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi manfaat kepada industri TMK yang dapat dilihat melalui pertumbuhan ekonomi digital.
Beliau berkata, TMK menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), merangkumi Nilai Ditambah Kasar Industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (NDKTMK), 14.2 peratus dan e-dagang bagi industri lain sebanyak 8.4 peratus.
“Pertumbuhan positif ini selari dengan fokus utama kerajaan dalam pemerkasaan ekonomi digital yang akan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, 2021-2025 (RMK12) bagi memulihkan pertumbuhan negara menjangkau pandemik Covid-19,” katanya dalam laporan penemuan Akaun Satelit TMK 2020.
Sementara itu, Mohd. Uzir berkata, NDKTMK mencatatkan nilai RM201.6 bilion dengan pertumbuhan yang lebih perlahan iaitu 3.3 peratus pada 2020 berbanding 6.6 peratus tahun sebelumnya.
Katanya, ia disebabkan oleh penyusutan dalam industri kandungan & media dan perdagangan TMK dengan masing-masing mencatatkan 11.7 peratus dan 4.9 peratus.
“Walau bagaimanapun, industri pembuatan TMK dan perkhidmatan TMK terus menyokong pertumbuhan NDKTMK masing-masing dengan 5.9 peratus dan 6.7 peratus,” katanya.
Mengulas lebih lanjut laporan tersebut, Mohd. Uzir berkata, Nilai Ditambah Kasar e-dagang meningkat kepada RM163.3 bilion pada 2020 daripada RM129.2 bilion tahun sebelumnya, melonjak sebanyak 26.5 peratus.
Kata beliau, buat pertama kali sejak penyusunan ASTMK, e-dagang merekodkan sumbangan dua digit sebanyak 11.5 peratus kepada KDNK pada tahun lalu.
Katanya, sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama kepada Nilai Ditambah Kasar e-dagang dengan sumbangan sebanyak 54.5 peratus, diikuti sektor perkhidmatan, 41.7 peratus.
“Pelaksanaan pelbagai fasa kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19 dan penutupan sektor ekonomi bukan keperluan (essential) telah mendorong pengguna untuk meningkatkan pembelian secara dalam talian, seterusnya mempercepatkan pertumbuhan pasaran e-dagang di Malaysia,” katanya.
Mohd. Uzir turut melaporkan guna tenaga dalam industri TMK pada 2020 berjumlah 1.16 juta orang yang menyumbang sebanyak 7.7 peratus kepada keseluruhan guna tenaga.
“Industri pembuatan TMK merupakan penyumbang utama dengan 35.3 peratus diikuti perkhidmatan TMK (29.5 peratus) dan perdagangan TMK (21.7 peratus),” katanya. – UTUSAN










