Harga minyak jatuh, pelabur fokus mesyuarat OPEC+ - Utusan Malaysia

Harga minyak jatuh, pelabur fokus mesyuarat OPEC+

HARGA minyak mentah global terus tidak menentu. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Harga minyak jatuh semalam berikutan mesyuarat dasar bekalan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan pakatannya termasuk Russia (OPEC+) yang mungkin akan memutuskan sama ada kenaikan harga baru-baru ini dapat dikekalkan ketika dunia sedang pulih daripada pandemik Covid-19.

Minyak mentah Brent turun 24 sen atau 0.3 peratus kepada AS$79.04 (RM329.75) setong. Ia meningkat 1.5 peratus pada minggu lalu dan merupakan kenaikan empat minggu berturut-turut.

Manakala, penanda aras minyak Amerika Syarikat (AS), WTI turun 27 sen atau 0.4 peratus kepada AS$75.61 (RM315.44) setelah meningkat selama enam minggu terakhir.

Lapor Reuters, harga minyak telah meningkat walaupun terdapat gangguan bekalan selain permintaan global yang semakin pulih, mendorong harga minyak Brent ke paras tertinggi dalam tempoh hampir tiga tahun iaitu sebanyak AS$80 (RM333.76), pada minggu lalu.

Menurut ANZ Research, risiko telah didorong oleh keyakinan yang meningkat dan pertumbuhan global yang semakin kuat sementara pelabur fokus kepada mesyuarat OPEC+ akan datang.

“Kumpulan itu menghadapi tekanan daripada beberapa negara untuk menghasilkan lebih banyak minyak bagi membantu menurunkan harga kerana permintaan yang telah pulih lebih cepat daripada jangkaan di negara tertentu.

“Pada Julai, OPEC+ bersetuju meningkatkan pengeluaran sebanyak 400,000 tong sehari setiap bulan hingga sekurang-kurangnya April 2022 untuk menghentikan pemotongan yang ada sebanyak 5.8 juta tong sehari,” katanya dalam satu nota kajian.

Bagaimanapun, empat sumber OPEC+ memberitahu Reuters baru-baru ini, negara pengeluar sedang mempertimbangkan untuk menambah lebih banyak pengeluaran daripada perjanjian yang dijangkakan.

Peningkatan paling awal akan berlaku pada November kerana mesyuarat terakhir OPEC+ telah memutuskan jumlah pengeluaran untuk Oktober.

Kenaikan harga minyak juga didorong oleh kenaikan harga gas yang lebih tinggi, meningkat 300 peratus dan diperdagangkan sekitar AS$200 (RM834.40) setong. Ia mendorong peralihan kepada bahan bakar dan produk mentah lain untuk menjana elektrik dan keperluan industri lain. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN