Geran SIM: 31,500 dapat manfaat - Utusan Malaysia

Geran SIM: 31,500 dapat manfaat

PENGASAS MF Borneo, Markos Suman menunjukkan produk dihasilkan syarikatnya, yang turut mendapat sokongan di bawah Geran Padanan Impak Sosial Penjana.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 31,500 rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada usaha 63 perusahaan sosial (SE) yang menerima sokongan berjumlah RM10 juta melalui Geran Pada­nan Impak Sosial (SIM) Penjana tahun lalu.

Menurut Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (Ma­GIC), kesemua 63 SE dari sembilan negeri yang menerima geran tersebut dijangka me­nyum­bang nilai sosial sebanyak kira-kira RM40 juta melalui pelbagai inisiatif yang dijalankan.

AMIRUDDIN ABDUL SHUKOR

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amiruddin Abdul Shukor berkata, lebih satu pertiga daripada dana yang diluluskan melalui Geran SIM Penjana ditujukan untuk inisiatif berkenaan punca pendapatan komuniti, diikuti 26 peratus untuk ke­sejahteraan kesihatan dan sosial.

Kata beliau, 50 peratus daripada penerima manfaat geran tersebut merupakan komuniti terpinggir, belia dan kanak-kanak manakala 30 peratus lagi melibatkan komuniti Orang Asli.

“Kami teruja dapat menyo­kong perusahaan sosial yang telah bekerja keras untuk me­raih dana secukupnya atau lebih, melalui program pensumberan orang ramai atau tajaan korporat lain, sekali gus menggandakan sokongan kewangan mereka melalui geran padanan.

“Ini menunjukkan terdapat kesedaran, penghargaan dan sokongan yang bertambah besar untuk invasi sosial di Malaysia.

“Ini merupakan indikator masyarakat yang progresif, masyarakat yang menyokong pertumbuhan penyelesaian mam­pan dan berskala bagi meningkatkan kesejahteraan secara kolektif,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jelas Amiruddin, SE yang disokong geran tersebut menyediakan program, penyelesaian dan intervensi berkaitan pendidikan, makanan dan minuman serta pertanian, dengan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada inisiatif yang terpilih beroperasi di seluruh negara atau secara dalam talian.

“Melalui Geran SIM, kami berharap dapat memupuk kitaran barangan yang baik, membolehkan beberapa amalan terbaik dikekalkan, direplika dan dikembangkan ke seluruh negara dalam tempoh beberapa tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN