Gardenia-Miasa tumpu isu kesihatan mental - Utusan Malaysia

Gardenia-Miasa tumpu isu kesihatan mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gardenia Bakeries KL Sdn Bhd (Gardenia KL) dengan kerjasama Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa) komited dalam mengetengahkan isu kesihatan mental, terutama dalam kalangan ahli keluarga di rumah.

Pengurus Besar, Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun berkata, sebagai jenama yang prihatin terhadap masyarakat, Gardenia KL memulakan usaha ini dengan meninjau cara rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan perintah kawalan menerusi tinjau selidik yang dikendalikan oleh rakan komunitinya, Cilisos Media.

Ujarnya, langkah itu dilaksanakan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang disambut setiap tahun pada 10 September.

“Pandemik telah meningkatkan cabaran kesihatan mental dalam kalangan masyarakat dan Gardenia percaya perbincangan berterusan amat diperlukan untuk membantu masyarakat mengharungi norma baharu.

“Hasil tinjauan berguna untuk mengenal pasti tanda amaran kesihatan yang sering diabaikan dan bersama Miasa, Gardenia bercadang untuk meneruskan perbincangan dengan harapan lebih banyak tindakan diambil untuk meningkatkan kesejahteraan minda kita,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Presiden dan Pengasas Miasa, Anita Abu Bakar memaklumkan, kesihatan mental sudah lama diabaikan dan kerjasama pelbagai pihak untuk memperkasakan komuniti dan saling menyokong dalam masa mencabar ini amat memberangsangkan.

“Ketika wabak ini melanda, banyak yang terkesan dari segi psikologi dan emosi. Menerusi kerjasama ini, kami berharap dapat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, dengan menekankan aspek #kitajagakita tanpa ada yang ketinggalan.

“Walaupun ketika bekerja secara terasing, kita mampu menyelesaikan sesuatu, namun apabila kita bekerja bersama, kita mampu menciptakan keajaiban,” ujarnya.

Tinjau selidik ini dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, dengan penyertaan sejumlah 1,029 responden ari setiap lapisan masyarakat yang berusia dari 17 hingga 60 tahun dan lebih.

Berdasarkan tinjau selidik, sebanyak 67.1 peratus daripada responden mengakui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikan kesan ketara terhadap kesihatan mental mereka.

Daripada jumlah tersebut, lima peratus daripada responden mengakui pernah terlintas untuk membunuh diri dan 2.4 peratus pernah mencederakan diri sendiri.

Dalam pada itu, aktivis selebriti kesihatan mental dan Penaung Miasa, Che Puan Sarimah Ibrahim berkata, amat penting untuk masyarakat mengenali tanda-tanda dan gejala masalah kesihatan mental agar dapat mencegahnya daripada menjadi krisis kesihatan mental.

“Saya percaya pendidikan mengenai kesihatan mental secara keseluruhan adalah satu-satunya kunci untuk merealisasikan matlamat ini. Negara produktif dan sihat adalah sebuah negara yang mengutamakan dan memelihara kesihatan fizikal dan mentalnya rakyatnya.” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN