
PETALING JAYA: Kerajaan tidak bercadang untuk mengurangkan perbelanjaan bagi projek-projek pembangunan di sebalik keadaan pandemik semasa, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau menegaskan, fokus pembangunan negara amat penting kerana secara tidak langsung akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus merancakkan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.
“Ada yang mengatakan kerajaan perlu lebih berhemat dalam menjalankan pembangunan demi memulihkan ekonomi, namun kita perlu memandang ke hadapan dan percaya pembangunan ini akan mengurangkan kadar pengangguran negara nanti.
“Kebanyakan pakar ekonomi akan menilai pemulihan ekonomi dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi yang penting adalah kadar pengangguran dan tahap pendapatan rakyat. Itu juga akan menjadi fokus utama Belanjawan 2022,” katanya dalam program Bersama Tengku Zafrul di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), semalam.

Ujar Tengku Zafrul, kerajaan juga akan merencanakan perancangan yang efektif dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membuka 70 peratus peluang pekerjaan.
“Ketika penutupan ekonomi, sebanyak RM20 bilion telah diperuntukkan untuk Program Subsidi Upah (PSU) yang memanfaatkan 330,000 syarikat. Kini mereka perlukan modal pula untuk mula semula perniagaan mereka setelah lama ditutup.
“Kita akan perhatikan bagaimana untuk membantu perniagaan yang terkesan ini terutamanya sektor pelancongan. Sektor yang baru dibuka ketika pandemik juga kita akan bantu,” jelasnya.
Ketika diminta mengulas mengenai pendapat sesetengah pihak mengenai kewajaran menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan, Tengku Zafrul berkata, dana tersebut ditubuhkan pada 1988 untuk kegunaan dalam tempoh sukar.
“Jadi, apabila negara dilanda pandemik, ini adalah satu daripada situasi sukar yang dihadapi negara. Paling penting, ia digunakan untuk kemudahan rakyat. Selepas ekonomi pulih, kita akan bina semula dana tersebut,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai pengenalan cukai durian runtuh bagi syarikat yang memperoleh keuntungan ketika pandemik, beliau memaklumkan, kerajaan gusar pengenalan cukai tersebut akan menyebabkan pelaburan asing keluar dari Malaysia.
“Kita sedar sektor pembuatan seperti sarung tangan mendapat keuntungan besar dalam tempoh ini namun impak daripada cukai tersebut mungkin mengubah keputusan pelabur asing untuk melabur di negara lain atau akan memberi kesan kepada rantaian nilai itu sendiri.
“Justeru, kajian menyeluruh perlu dilaksanakan terlebih dahulu. Namun setakat ini, mereka (syarikat sarung tangan) telah bersetuju memberikan sumbangan RM400,000 kepada kerajaan selain cukai biasa yang dikenakan,” jelasnya. – UTUSAN










