PETALING JAYA: Naza Italia, pengimport dan pengedar rasmi jenama Ferrari di Malaysia, telah memperkenalkan model Portofino M ke pasaran tempatan.
Portofino M adalah titik permulaan (semula) untuk mengejar inovasi Ferrari sambil menghormati warisan, semangat dan pencarian berterusan untuk
kesempurnaan.
Semua nilai itu tercermin dalam Portofino M yang baharu. Perkataan ‘M’ adalah singkatan daripada Modificata, merujuk kepada kereta Ferrari yang telah mengalami evolusi dalam meningkatkan prestasi.
Ferrari Portofino M berharga dari RM998,000 (sebelum duti kastam, cukai dan insurans).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings Sdn. Bhd., Datuk Nik Hamdan Nik Hassan berkata, cabaran dan sekatan yang dialami negara akibat Covid-19, menyebabkan pelancaran Ferrari Portofina M untuk memasuki pasaran tempatan terpaksa ditunda.
Sedangkan katanya, pelanggan telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap model serba boleh itu dan menantikan evolusi Portofino, yang menjanjikan kecemerlangan dengan kemajuan berbeza dari segi watak, reka bentuk dan prestasi.
“Sebagai coupé sejati dengan bahagian atas tertutup, Portofino M menawarkan pemanduan yang lebih baik dan pengalaman yang sesuai untuk semua majlis serta suasana,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Naza Italia, tidak ada kekurangan inovasi teknikal dalam transformasi menakjubkan Ferrari Portofino.
Jelasnya, yang paling terkenal adalah reka bentuk semula powertrain, kotak gear lapan kelajuan baharu dan Manettino lima kedudukan yang merangkumi mod Race, yang pertama untuk Maranello GT spider. – UTUSAN










