Dari agensi pelancongan ke F&B - Utusan Malaysia

Dari agensi pelancongan ke F&B

NAMO Garden restoran berkonsepkan mediterranean cuisine. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Buka dua cawangan NAMO ketika pandemik

PETALING JAYA: JIKA dahulu, boleh menghabiskan 365 hari di luar negara di samping mengusahakan agensi pelancongan sendiri, kini seperti semua rakyat Malaysia, Nazdiannie Nazri dan suaminya, Mohammad Ahmad ‘terperangkap’ akibat pandemik.

Lebih ‘menambah garam ke luka,’ mereka perlu menerima hakikat agensi pelancongan Al Safer Travel & Tours yang diusahakan selama 10 tahun perlu ‘berehat’ selepas penutupan sempadan negara sejak tahun lalu.

NAZDIANNIE Nazri di hadapan restoran NAMO Garden yang diusahakannya bersama suami.

Mengakui pada awalnya buntu dalam mencari jalan untuk terus menyara hidup, Nazdiannie berkata, dia dan suami mengambil masa enam bulan tanpa berbuat apa-apa dengan harapan wabak yang melanda dunia ini akan lenyap dalam tempoh singkat.

Namun, harapan mereka meleset dan ketika itu mereka sedar perlu mengubah konsep perniagaan untuk terus bertahan memandangkan sektor pelancongan dan sempadan masih ditutup.

“Ketika itu saya duduk di rumah dan berfikir untuk memulakan perniagaan lain. Ada juga terfikir keluarkan produk sendiri, jual barangan import dan sebagainya.

“Sehingga pada suatu hari, saya dan suami berjalan di sekitar Publika dan ternampak iklan kedai untuk disewa. Bila pulang ke rumah, saya dan suami terfikir untuk sewa kedai tersebut dan membuka sebuah restoran berkonsepkan mediterranean cuisine.

“Idea itu timbul kerana kami memang gemar melancong dan merasa pelbagai jenis makanan di luar negara. Jadi, ketika sempadan masih ditutup, kami mahu bawakan makanan antarabangsa ke sini agar orang ramai dapat menikmati rasa asli makanan tersebut walaupun tidak boleh ke luar negara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Selepas proses pengubahsuaian, NAMO Mediterranean Cuisine dibuka di Publika pada Oktober 2020 disusuli dengan cawangan kedua, NAMO Garden di Cyberjaya pada Mac lalu dan dalam proses pembukaan cawangan ketiga, NAMO Station di Sungai Buloh, Selangor.

Menurut Nazdiannie, pada awalnya agak sukar menguruskan restoran tersebut kerana dia dan suami hanya mengambil langkah berani menggunakan modal daripada perniagaan agensi pelancongan dengan masing-masing tidak mempunyai pengalaman dalam selok-belok perniagaan F&B.

Namun jelasnya, mereka mengaplikasikan ilmu menguruskan pekerja ketika mengusahakan agensi pelancongan dahulu dan belajar perkara baharu mengenai F&B setiap hari.

“Ketika bulan pertama pembukaan, jualan agak perlahan dengan hanya memperoleh RM300 ke RM500 sehari. Namun selepas restoran mula dikenali ramai, kami sendiri terkejut kerana hanya di bulan pertama sahaja kami perlu mengeluarkan wang simpanan untuk kos operasi.

“Bulan seterusnya, kami sudah menjana keuntungan dan pelanggan semakin ramai sehingga kami mampu membuka cawangan kedua di Cyberjaya, Mac lalu.

“Ketika perniagaan semakin meningkat, kami diuji sekali lagi dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mei lalu dan kami mengambil keputusan menutup kedua-dua cawangan bagi mengelak lebih banyak kerugian memandangkan restoran kami masih baharu,” ujarnya.

Mohammad yang berdarah campuran Arab berkata, restoran mereka menggunakan jenama NAMO yang merupakan nama keluarganya iaitu Na’mou dan perniagaan yang sama turut diusahakan keluarganya di Rusia dan Itali.

ANTARA menu yang disajikan di NAMO Garden.

“Ketiga-tiga cawangan kami mempunyai konsep yang sama, namun menu makanan yang berlainan mengikut keistimewaan sesebuah negara antaranya Turki, Rusia dan Itali.

“Setiap cawangan menawarkan menu istimewa berlainan contohnya, Chicken Kiev yang berasal dari Rusia di NAMO Garden, manakala Lamb Stew dari Morocco dan Hot Plate Lamb Rack yang dicipta sendiri di cawangan Publika. Namun, kami mengekalkan satu menu istimewa di semua cawangan iaitu manisan dari Turki iaitu Turkish Kunafa,” jelasnya.

Walaupun telah berjaya dengan perniagaan F&B, Nazdiannie dan Mohammad masih berharap untuk memulakan semula operasi agensi pelancongan mereka selepas penularan Covid-19 mulai reda dan pembukaan semula sempadan negara.

“Pada 10 tahun lalu, kami bermula dengan hanya ruang kecil di pasar malam di Pulau Pinang sambil mengedarkan risalah mengenai perkhidmatan yang kami tawarkan. Bermula dengan menguruskan aktiviti pelancongan di dalam negara, kami melebarkan sayap ke luar negara sehingga berpeluang membuka kiosk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Agensi pelancongan kami mendapat sambutan daripada pelancong Asia Barat memandangkan suami saya boleh berbahasa Arab kerana membesar di Syria.

“Pelancongan adalah minat dan perniagaan pertama kami. Jadi, kami tidak akan tinggalkan dunia itu. Kami berharap selepas ini sektor pelancongan dapat bernafas semula dan kami boleh terus memberi perkhidmatan pelancongan kepada pelancong tempatan dan luar negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN