Bumitra tawar baucar pelancongan sebagai ganti  - Utusan Malaysia

Bumitra tawar baucar pelancongan sebagai ganti 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) berharap, pelanggan yang telah membayar duit pakej umrah, dapat bertolak ansur dengan menerima tawaran baucar pelancongan sebagai ganti wang tunai.

Presiden Bumitra, Harun KC Ahmu berkata, sekiranya semua pelanggan membuat tuntunan pulangan wang tunai, banyak syarikat agensi pelancongan yang tidak mampu dan kemungkinan besar akan ‘gulung tikar’.

“Kita semua tahu syarikat agensi pelancongan ketika ini amat memerlukan aliran tunai masuk setelah hampir 19 bulan tidak beroperasi dan tiada sumber pendapatan.

“Ahli-ahli kami memerlukan suntikan modal bagi memulakan perniagaan dan ia amat sukar untuk memastikan modal tersebut akan memberi pulangan seperti yang diharapkan.

“Itu kerana keadaan masih tidak menentu dengan kes positif wabak tersebut masih tinggi ditambah dengan SOP global yang berlainan,” katanya dalam kenyataan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad sebelum ini berkata, agensi pelancongan yang mengendalikan pakej umrah perlu segera memulangkan semula wang yang telah dibayar bakal umrah yang terkandas akibat pandemik Covid-19 tahun lalu susulan prosedur Operasi Standard (SOP) dikeluarkan Arab Saudi.

Mengulas lanjut, Harun menjelaskan, banyak syarikat agensi pelancongan yang masih belum bersedia sepenuhnya untuk memulakan operasi kerana banyak persiapan yang perlu dilakukan di dalam suasana endamik ini.

Selain itu, Harun memberitahu, pihaknya juga telah menerima maklum balas daripada ahli-ahlinya yang telah dikenakan tindakan undang-undang kerana pelanggan yang ingin menuntut kembali wang mereka menerusi tuntutan tribunal atau mahkamah.

Justeru beliau berharap, pelanggan terbabit boleh bertolak ansur dan berbincang dengan baik berbanding mengheret agensi terbabit ke mahkamah.

“Kami menyeru agar pelanggan-pelanggan dapat faham keadaan syarikat pelancongan dan menerima pelan pembayaran balik wang tersebut.

“Kami yakin industri pelancongan akan pulih sepenuhnya namun ia akan mengambill masa yang panjang kira-kira setahun atau dua tahun.

“Kami mengalu-alukan semua pelancong untuk mengambil kesempatan ke atas kempen melancong dalam negeri yang akan dilancarkan pada awal November ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN