BPMB ambil alih Danajamin - Utusan Malaysia

BPMB ambil alih Danajamin

MAJLIS menandatangani perjanjian pegambilalihan Danajamin Nasional Bhd. oleh Bank Pembangunan Malaysia Bhd. secara maya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) menandatangani perjanjian dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd. (CGC) dan Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOF Inc.) bagi mengambil alih 100 peratus saham Danajamin Nasional Bhd. (Danajamin).

Pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada rancangan jangka sederhana kerajaan untuk memperkukuh dan menyelaras mandat Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) bagi pengukuhan ekosistem kewangan pembangunan negara.

Fasa pertama rancangan itu menyaksikan BPMB mengambil alih semua saham Danajamin daripada pemegang saham semasa, CGC dan MOF Inc, menjadikan Danajamin sebagai anak syarikat milik penuh BPMB.

Pengerusi BPMB, Datuk Seri Nazir Razak berkata, DFI adalah komponen penting bagi mana-mana sistem kewangan dan pengukuhannya akan meningkatkan kemampuan untuk menyokong pembangunan ekonomi negara.

Ujarnya, ia boleh dicapai dengan memanfaatkan modal kepada peminjam yang diabaikan oleh bank swasta, menyediakan modal subsidi untuk sektor keutamaan selain mengumpulkan modal swasta ke segmen utama ekonomi.

“Kami menyokong penuh usaha kerajaan dan akan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan ekosistem DFI menyokong keperluan negara, terutama dalam tempoh mencabar ini.

“Krisis ekonomi akibat pandemik merupakan peringatan bagi kita mengenai pentingnya DFI sebagai pemberi pinjaman kitaran kontra untuk ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Pengerusi CGC, Datuk Mohammed Hussein memberitahu, kualiti portofolio pinjaman Danajamin mencerminkan kepercayaan kukuh lembaga pengarah dan pengurusannya dari dulu hingga kini mengenai budaya kredit serta rangka kerja pengurusan risiko yang utuh sangat penting untuk kelestarian Danajamin.

“Dengan penjualan 50 peratus kepentingan kepada BPMB, saya yakin akan menghasilkan sinergi nilai untuk mencipta skala yang lebih besar dan mengambil mandat lebih luas dengan impak pembangunan lebih besar di bawah payung BPMB yang diperbesarkan,” ujarnya.

Sebagai penyedia insurans jaminan kewangan pertama di Malaysia, Danajamin akan melengkapkan tawaran perniagaan dan produk BPMB yang ada, dengan sinergi penggabungan diharapkan dapat memberi manfaat kepada perniagaan Malaysia, meningkatkan akses ke pasaran modal dan modal secara umumnya.

Pertimbangan pembelian untuk Danajamin adalah berdasarkan nilai aset bersih yang diaudit (NAB) pada 30 Jun 2021.

Perjanjian itu dijangka dimuktamadkan sejurus selesai audit sementara pada November ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN