
PETALING JAYA: Pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah menyerlahkan keburukan naratif ekonomi terdahulu yang membawa dunia ke arah bencana.
Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, naratif lama itu turut mengawal nilai, motivasi dan tingkah laku manusia, membentuk situasi semasa dan akhirnya menentukan takdir dunia.
“Namun, ia tidak berhasil. Ia menolak kita semua ke arah bencana sejagat.
“Sebagai contoh, naratif lama tentang memaksimumkan keuntungan tanpa mengambil kira kos kini telah ditolak secara sejagat. Kos terhadap alam sekitar dan sosial terlalu tinggi dan kini kita dapat melihat kesannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Forum Trend Mega Khazanah (KMF) 2021 yang diadakan secara maya semalam.
Menurut Amirul Feisal, pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada seluruh dunia adalah peluang yang perlu dimanfaatkan segera.
Kata beliau, pandemik menyerlahkan kerapuhan komuniti sosioekonomi dunia yang perlu dihadapi ketika ini.
“Ketidaksaksamaan, ketidakseimbangan, ketidakadilan ekonomi dan penyalahgunaan alam sekitar, semua ini tidak pernah sejelas sekarang. Maka, pastinya ia perlu diberi perhatian secara sejajar dan bersepadu oleh seluruh dunia.
“Secara jelasnya, pandemik telah membongkarkan penipuan yang kita pegang sekian lama untuk mewujudkan (bayangan) keselesaan dan keselamatan yang rapuh,” katanya.
Sehubungan itu, Amirul Feisal menegaskan, semua pihak perlu membentuk naratif baharu bagi mewujudkan dunia yang lebih baik pada masa hadapan.
“Jika mahu mengelakkan bencana, kita mesti mencipta naratif baharu yang secara fundamental dapat mengubah nilai dan tingkah laku kita bagi membentuk dunia yang kita mahu wariskan kepada generasi seterusnya,” katanya.
Memetik tema forum tersebut tahun ini, iaitu Penciptaan Hari Esok: Membentuk Naratif Kolektif Baharu Kita, Amirul Feisal berkata pembentukan yang dimaksudkan merujuk kepada tanggungjawab, kemampuan dan motivasi semua pihak.
“Untuk membina dunia yang kita mahukan pada masa akan datang dengan mengambil tindakan pada hari ini,” katanya. – UTUSAN










