
PETALING JAYA: Pembentangan Belanjawan 2022 akan menumpukan kepada pemulihan, pembinaan semula daya tahan negara dan pemangkin pembaharuan atau 3R iaitu Recovery, Resilience dan Reform, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, sokongan kepada perniagaan akan kekal kukuh sama ada menerusi skim pembiayaan mampu milik, akses lebih baik kepada kredit atau geran.
“Belanjawan 2022 akan tertumpu kepada 3R dan ia berlandaskan ketelusan. Dalam memastikan semangan ketelusan, Kementerian Kewangan memperkenalkan kenyataan pra Belanjawan dan empat rundingan, dan ia merupakan satu sejarah.
“Setakat ini, kami telah menerima 1,000 respon dan komen. Kita berhubung dan berunding dengan ramai rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang dan sektor,” katanya dalam ucapan di Invest Malaysia 2021, secara maya, semalam.
Ujar Tengku Zafrul, pembentangan Belanjawan 2022 pada 29 Oktober ini akan meneruskan langkah pemulihan sama seperti Belanjawan tahun lalu.
Bantuan kewangan akan turut diberikan kepada golongan B40 dan mereka yang terkesan, katanya.
Selain itu, Tengku Zafrul turut mengumumkan penubuhan Program Transformasi Syarikat Tersenarai Awam (PLCT) yang menyasarkan pelaksanaan prestasi tinggi bagi korporat di Malaysia.
Beliau berkata, PLCT merupakan langkah untuk melengkapkan inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh) yang akan memfokuskan lima perkara penting iaitu prestasi, berkembang secara lestari, bertanggungjawab secara sosial dan beretika selaim memperkukuh tadbir urus korporat, mengaktifkan digital dan menyokong usaha membangun negara bagi memajukan ekonomi rakyat Malaysia.
“PLCT yang dipelopori Bursa Malaysia akan melibatkan penerbitan lima asas panduan digital dengan yang pertama akan dikeluarkan pada akhir tahun ini.
“Panduan itu juga akan memberikan amalan terbaik dengan penanda aras serta kajian untuk proses transformasi mereka,” katanya. – UTUSAN










