Bantuan masih tersedia – BNM - Utusan Malaysia

Bantuan masih tersedia – BNM

MALAYSIA berbesar hati telah mempengerusikan Asia/Pacific Group on Money Laundering (APG) selama dua tahun dan akan digantikan oleh Kanada. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) akan membantu peminjam dalam kumpulan 50 peratus terbawah (B50) yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50 peratus, untuk membayar balik pinjaman mereka yang tidak tertunggak.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), peminjam yang layak dan berhasrat untuk memohon URUS, boleh berhubung dengan bank-bank mereka mulai 15 November 2021 hingga 21 Januari 2022.

Bank pusat itu berkata, pihaknya mengalukan-alukan inisiatif industri perbankan dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang memperkenalkan URUS bagi peminjam individu yang terus terjejas akibat pandemik Covid-19.

NOR SHAMSIAH MOHD. YUNUS

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, BNM telah bekerjasama dengan AKPK untuk membangunkan penyelesaian pengurusan hutang dan perancangan kewangan yang holistik.

“Penyelesaian itu bertujuan untuk menyediakan bantuan yang bersesuaian kepada peminjam supaya mereka bukan sahaja dapat memenuhi obligasi bayaran balik pinjaman malah lebih penting lagi, dapat mengukuhkan semula kedudukan kewangan mereka.

“Bantuan tersebut akan memperkukuh daya tahan kewangan peminjam dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Nor Shamsiah berkata, bagi peminjam yang tidak layak memohon URUS, mereka masih boleh menghubungi bank-bank untuk berbincang tentang penyelesaian bayaran balik pinjaman yang sesuai dengan keadaan kewangan mereka.

Beliau menjelaskan, sekiranya peminjam menghadapi sebarang kesukaran dengan permohonan URUS, mereka boleh menghubungi BNMTELELINK menerusi bnm.my/RAsurvey bagi mendapatkan khidmat nasihat.

“Pelanggan juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai skim baharu ini melalui laman sesawang bank-bank dan AKPK.

“Bagi PKS, penambahbaikan selanjutnya bagi dana-dana BNM akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2022 yang akan datang,” jelasnya.

Nor Shamsiah berkata, penambahbaikan terhadap dana itu akan membantu perniagaan aliran tunai dan membuat penyesuaian apabila ekonomi dibuka semula.

Meskipun risiko kredit me­ning­kat, katanya, pembiayaan bank kepada PKS terus berkembang dengan kapasiti tambahan yang disediakan melalui dana BNM dan skim jaminan kredit.

Beliau berkata, bagi tempoh enam bulan tahun ini, sejumlah RM154 bilion telah dikeluarkan kepada PKS, iaitu empat peratus lebih tinggi berbanding jumlah sebelum pandemik.

“Sejak bermulanya pandemik, sejumlah RM18 bilion telah diperuntukkan di bawah dana itu bagi meningkatkan pembiayaan sistem perbankan kepada PKS.

“Pinjaman terkumpul untuk segmen PKS meningkat sebanyak enam peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelum ini,” katanya.

Tambah beliau, usaha juga sedang diambil untuk membangunkan inisiatif pembiayaan yang sesuai merentas kitaran pertumbuhan mereka.

“Hal itu penting untuk mengurangkan leveraj serta memperkukuh daya tahan dan kapasiti jangka panjang PKS serta meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN