Pendapatan tiga unit amanah
PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM650.73 juta untuk dana unit amanah harga tetap Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) serta dana harga berubah, ASN Equity 5 dan ASN Sara 2 (ASN Sara 2) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2021.
PNB dalam kenyataan memaklumkan, ASM 3 mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM593.04 juta yang memanfaatkan 525,038 pemegang unit dengan pegangan 14.83 bilion unit.
Ujarnya, ASM 3 mencatatkan pendapatan direalisasikan bersih sebanyak RM653.27 juta bagi tahun kewangan semasa, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 17.87 peratus berbanding tahun lalu.
“Pulangan sebanyak 4.00 sen seunit ini mengatasi pulangan penanda aras sebanyak 1.85 peratus yang direkodkan oleh Deposit Tetap 12-bulan Maybank bagi tempoh sama.
“Dua dana harga berubah, iaitu ASN Equity 5 dan ASN Sara 2 mencatatkan jumlah pulangan sebanyak 11.46 peratus dan 4.04 peratus, mengatasi penanda aras masing-masing iaitu 8.66 peratus dan 1.73 peratus.
“ASN Equity 5 mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM9.80 juta bersamaan dengan 2.85 sen seunit, manakala ASN Sara 2 mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM47.88 juta bersamaan dengan 2.80 sen seunit,” menurut kenyataan itu.
Menurut PNB, pengagihan pendapatan ini diperoleh daripada dana keuntungan direalisasi, dividen dan pendapatan lain daripada pelaburan tempatan dan antarabangsa yang secara amnya didorong oleh pemulihan pasaran kewangan global dan domestik secara beransur-ansur.
“Pendapatan daripada pelaburan antarabangsa meningkat secara ketara dengan sumbangan di antara 32 dan 73 peratus untuk dana masing-masing bagi tahun kewangan semasa.
“Kesan positif dari inisiatif kepelbagaian yang dilakukan menerusi Pelan Strategik Jangka Panjang PNB terbukti dengan peningkatan prestasi kedua-dua dana ini, membuktikan komitmen tinggi institusi tersebut untuk memberikan pulangan mampan yang berterusan kepada pemegang unit,” ujarnya.
Urus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB seluruh negara telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 23 hingga 30 September 2021 untuk ASM 3 dan dari 29 September hingga 1 Oktober 2021 untuk ASN Equity 5 serta ASN Sara 2 bagi memudahkan pengiraan pengagihan
pendapatan.
Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka di www.myasnb.com.my, melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan ASNB atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 Oktober 2021 untuk ASM 3, dan 2 Oktober 2021 untuk ASN Equity 5 dan ASN Sara 2. – UTUSAN










