PETALING JAYA: Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat, mengenakan sekatan ke atas produk sarung tangan pakai buang yang dihasilkan oleh unit Supermax Corporation Bhd., Maxter Glove Manufacturing Sdn. Bhd., Maxwell Glove Manufacturing Bhd. dan Supermax Glove Manufacturing berkuat kuasa, semalam.
CBP dalam laman webnya berkata, Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) dikeluarkan ke atas Supermax dan anak-anak syarikatnya membabitkan penggunaan buruh paksa.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS), Alejandro N. Mayorkas berkata, dengan WRO itu, pentadbiran Presiden Joe Biden dan Naib Presiden, Kamala Harris sekali lagi menegaskan bahawa, produk yang dibuat sama ada secara keseluruhan atau sebahagiannya oleh buruh paksa tidak akan dibenarkan masuk ke negara itu.
“Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) akan terus menetapkan standard antarabangsa untuk penghapusan amalan buruh paksa yang menyedihkan. Kami akan mengeluarkannya daripada rantaian bekalan Amerika,” katanya dalam laman web CBP, kelmarin.
Perkembangan itu menjadikan Supermax syarikat terbaharu dari Malaysia yang dikenakan tindakan sedemikian selepas Top Glove Corp. Berhad, FGV Holdings Berhad dan Sime Darby Plantations.
CBP berkata, pihaknya telah mengesan 10 Petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai buruk paksa dalam siasatan ke atas Supermax.
Pemangku Pesuruhjaya CBP, Troy Miller pula berkata, pelaksanaan WRO akan membantu melindungi pekerja-pekerja terbabit.
“CBP adalah pemimpin global dalam penguatkuasaan buruh paksa, dan kami akan terus mengecualikan produk yang dihasilkan oleh perhambaan moden daripada memasuki Amerika Syarikat,” katanya.
Undang-undang Persekutuan 19 U.S.C. 1307 melarang pengimportan barang dagangan yang dihasilkan sepenuhnya atau sebahagian oleh buruh paksa termasuk membabitkan kanak-kanak.
Mengikut peruntukan tersebut, CBP akan menahan penghantaran barang yang disyaki melanggar undang-undang berkenaan. Bagaimanapun, pengeksport berpeluang membuktikan bahawa barang dagangan yang ditahan tidak dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Eksekutif Bahagian Perdagangan CBP, Ann Marie R. Highsmith berkata, mengambil kira pelanggaran 10 daripada 11 indikator ILO dalam siasatan itu, CBP mempunyai bukti kukuh untuk memutuskan bahawa Supermax dan anak-anak syarikatnya telah mencabuli undang-undang perdagangan AS.
“Barangan mereka tidak dialu-alukan di sini sehinggalah Supermax dan anak-anak syarikatannya membuktikan pengeluaran produk itu bebas daripada penggunaan buruh paksa,” katanya. – UTUSAN










