AEON komited bebas rasuah - Utusan Malaysia

AEON komited bebas rasuah

SHAFIE Shamsuddin mengetuai lafaz Ikrar Bebas Rasuah AEON Co. dan AEON BIG di Kuala Lumpur, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengurusan dan wang kerja AEON CO. (M) Bhd. dan AEON BiG (M) Sdn. Bhd. (AEON) komited untuk bebas daripada rasuah dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Komitmen itu dizahirkan di majlis lafaz dan menandatangani IBR bertempat di ibu pejabat AEON Home Ground di AEON Taman Maluri Shopping Centre, Kuala Lumpur, semalam.

Sesi tersebut diketuai oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin. Beliau turut disertai oleh hampir 200 orang secara fizikal dan maya yang turut berikrar termasuk Ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan sebahagian daripada warga kerja AEON.

Turut hadir secara maya ialah Pengerusi AEON, Datuk Iskandar Sarudin dan disaksikan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Timbalan Pesuruhjaya, Datuk Razim Mohd. Noor.

Shafie berkata, lafaz dan menandatangani IBR itu sangat penting untuk dilaksanakan bagi terus memberikan kesedaran dan menerapkan perasaan bencikan rasuah di setiap peringkat di AEON.

“Apabila setiap tindakan atau keputusan yang diambil berasaskan kepada integriti, tanpa diselubungi gejala rasuah, syarikat ditadbir urus dengan baik dan pastinya berada di landasan yang betul untuk terus berkembang maju.

“Kelestarian syarikat menjanjikan masa depan yang lebih cerah kepada warga kerja dan pemegang taruh. Syarikat yang berdaya maju, dipacu oleh produktiviti yang tinggi akan turut menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara.

“AEON bertekad untuk terus mendukung IBR dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dan akan sentiasa menyokong pihak SPRM dalam usaha membanteras rasuah,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, di AEON, pihaknya sentiasa berusaha untuk memahatkan nilai-nilai murni di kalangan kami. Salah satunya menerusi Kod Tatakelakuan AEON, iaitu sentiasa menghargai kepercayaan yang diberikan dan sentiasa bertindak dengan penuh integriti dan keikhlasan dalam apa jua keadaan.

IBR oleh SPRM merupakan satu inisiatif yang memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh kepimpinan syarikat dan warga kerjanya secara sukarela atas kapasiti sebagai individu untuk memastikan setiap dari mereka yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah.

Sehubungan itu, AEON akan meneruskan IBR dalam memastikan warga kerja AEON dan juga ekosistem yang merangkumi lebih daripada 12,000 orang pekerja turut memberikan komitmen bebas rasuah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN