28.1 juta penduduk sudah dibanci - Utusan Malaysia

28.1 juta penduduk sudah dibanci

ORANG ramai menyertai program banci penduduk yang dijalankan oleh Jabatan Penerangan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setakat Khamis lalu, seramai 28.1 juta daripada 32.6 juta rakyat Malaysia sudah dibanci menerusi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020), membabitkan 26.5 juta warganegara dan 1.3 juta bukan warganegara.

Berdasarkan anggaran 32.6 juta jumlah penduduk itu, kadar bancian kini mencecah 85.8 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, daripada jumlah itu, beberapa negeri dan wilayah iaitu Kelantan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah hampir selesai dibanci dan sedang dalam  proses pengesahan maklumat.

“Negeri tertinggi yang sudah dibanci setakat ini ialah Johor dengan 104.9 peratus, Putrajaya 101.3 peratus, Negeri Sembilan 100.4 peratus, Kuala Lumpur 99.2 peratus, Perlis 95 peratus dan Kelantan 93.8 peratus.

“Bagi negeri yang melebihi 100 peratus, kami jangka berkemungkinan terdapat pergerakan dari satu kawasan ke satu kawasan yang  lain. Manakala, bagi negeri terendah yang dibanci ialah Pahang dengan 69.3 peratus, Sarawak 66.6 peratus dan Sabah 55.9 peratus,”  katanya pada sidang akhbar Status Banci Malaysia yang diadakan secara maya, kelmarin.

Beliau menjelaskan, peratusan yang rendah di Pahang adalah disebabkan bencana banjir di negeri itu, manakala di Sabah dan  Sarawak pula pihaknya terpaksa memperlahankan kerja pembancian buat sementara waktu berikutan peningkatan kes Covid-19 pada waktu itu.

Bagaimanapun, kata Mohd. Uzir, kini pihaknya sudah mendapat kerjasama kerajaan negeri serta pegawai daerah untuk meningkatkan  operasi pembancian, yang tempohnya hanya tinggal sebulan dan akan berakhir pada 31 Oktober ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, biarpun terpaksa mengambil tempoh masa yang agak panjang berbanding pembancian  sebelumnya, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yakin angka 100 dapat dicapai menjelang tarikh akhirnya itu.

“Banci kali ini sangat berbeza kerana kami memberi penekanan kepada kualiti bagi menghasilkan maklumat yang lengkap.

“Apa yang telah dan sedang DOSM laksanakan adalah pengurusan semakan kualiti data, terutama data atas talian di mana ada yang  kami perlu buat susulan dan pengesahan,” jelasnya.

Beliau memberitahu, DOSM sangat mengambil berat tentang hal tersebut kerana mereka bukan sahaja ingin mendapatkan angka yang tepat, malah kualiti maklumat yang diberi.

Sehubungan itu, Mohd. Uzir  menyeru penduduk Malaysia yang masih belum mengambil bahagian agar segera memberi kerjasama bagi membolehkan data lengkap diperolehi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya