Lebih banyak bantuan untuk belia - Utusan Malaysia

Lebih banyak bantuan untuk belia

PELUANG pekerjaan yang terhad antara masalah utama dihadapi golongan belia yang perlu ditangani oleh kerajaan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi menjangka lebih banyak bantuan akan diberikan kepada golongan belia dalam Bajet 2022.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menjangkakan bajet yang akan dibentangkan bersifat populis mengambil kira kemungkinan pilihan raya umum diadakan pada tahun depan.

“Memandangkan ramai golongan belia akan menjadi pengundi untuk pilihan raya umum akan datang, kerajaan akan cuba untuk memenangi hati mereka dengan memberi bantuan seperti meningkatkan peluang pekerjaan, menawarkan program meningkatkan kemahiran serta bantuan e-wallet,” katanya.

Selain itu, Ahmed Razman berkata, Belanjawan 2022 juga akan berpandukan kepada apa yang telah dibentangkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan selaras dengan apa yang telah digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Jelasnya, ia akan tertumpu kepada pemulihan dan penjanaan semula ekonomi, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat serta mewujudkan ekonomi yang lebih mampan dan berdaya saing.

Bagi jenis-jenis bantuan yang akan diberikan pula, Ahmed Razman memberitahu, sedikit sebanyak bantuan yang diberikan akan sama seperti bantuan yang telah diberikan dalam Belanjawan 2021, di mana bantuan untuk menangani pandemik Covid-19, bantuan rakyat dan perniagaan masih akan kekal.

“Untuk Belanjawan kali ini, saya merasakan akan ada lebih banyak bantuan bersifat mampan terutamanya untuk pembangunan infrastruktur.

“Dalam RMK12, kerajaan turut merancang untuk menambah jalan raya, menaik taraf kemudahan terutamanya untuk negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak dan Kelantan,” jelasnya.

Ahmed Razman berkata, peruntukan belanja pembangunan dalam RMK12 sebanyak RM400 bilion itu agak tinggi berbanding peruntukan yang telah diberikan sebelum ini.

Justeru, jelasnya, memang banyak projek infrastruktur yang akan dilaksanakan bagi menjayakan ekonomi negara.

Mengulas lanjut, beliau berharap, tiada cukai baharu yang akan diperkenalkan dan kerajaan akan lebih fokus kepada memantapkan sistem percukaian.

“Pada masa yang sama, saya berharap akan ada pemantauan dan pelaporan pada setiap tahun ke atas apa yang telah dirancang dalam Bajet 2022 supaya apa yang dirancang itu dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN