PETALING JAYA: Kadar gaji minimum di negara ini wajar dikaji semula serta dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan 2022 pada 29 Oktober ini.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, gaji minimum semasa di antara RM1,100 ke RM1,200 yang diumumkan kerajaan terdahulu perlu diperhalusi dengan mengambil kira faktor paras garis kemiskinan (PGK) nasional baharu iaitu RM2,208.
Menurutnya, ia jelas menunjukkan bahawa tahap gaji minimum nasional di bawah PGK sebanyak 50 peratus.
“Keadaan bertambah buruk kerana sejak pandemik Covid-19, laporan Jabatan Perangkaan menunjukkan banyak golongan M40 dengan pendapatan di bawah RM4,850 telah tergelincir ke B40.
“Justeru, adalah wajar kadar gaji minimum dikaji semula untuk disesuaikan dengan situasi semasa tenaga kerja tempatan. Ini juga akan mungkin akan memberi implikasi kepada pasaran buruh, pengambilan pekerja asing dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berpendapat, gaji bersih RM1,200 adalah tidak mencukupi untuk perbelanjaan isi rumah kira-kira RM30 sehari memandangkan jumlah tersebut perlu ditolak caruman wajib seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Jika dihitung, mereka dengan pendapatan bulanan minimum hanya menerima gaji sekitar RM900 ke RM1,000 sahaja sebulan. Sudah tentu mereka menghadapi kesukaran untuk membiayai keperluan seperti bayaran rumah sewa, minyak kenderaan, persekolahan anak-anak, pakaian dan makanan.
“Pada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) juga, kerajaan menyasarkan pendapatan keluarga kepada RM10,00 sebulan untuk tempoh empat tahun lagi. Bagi mencapainya, sudah tentu kadar gaji minimum perlu ditingkatkan,” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Nurazilah Zainal menegaskan, undang-undang berkaitan perburuhan seperti Akta Kerja 1955 perlu ditambah baik dengan meluaskan skop kepada semua pekerja dalam sektor awam dan swasta tanpa mengira had gaji.
Menurut beliau, perlu diambil kira, peningkatan paras pendapatan garis kemiskinan daripada kadar sedia ada perlu selari dengan pengenalan gaji minimum yang lebih relevan. – UTUSAN










