PETALING JAYA: Kerajaan disaran mewujudkan jawatankuasa pemandu peringkat Kabinet bagi memastikan semua perancangan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilaksanakan mengikut jadual.
Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Konvensyen dan Pameran Asia Pasifik Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, langkah itu juga dapat memastikan RMK12 memenuhi kehendak rakyat Malaysia.
Kata beliau, melalui RMK12, kerajaan diharap dapat mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.5 peratus hingga 5.5 peratus di samping menjadi sebuah negara berpendapatan dan berteknologi tinggi.
“Tumpuan terhadap hala tuju yang strategik bagi mencapai Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan memberi makna kepada kita semua.
“Keseimbangan pembangunan dan kekayaan negara adalah penting untuk kita sebagai Keluarga Malaysia terutamanya dalam menyediakan perancangan jangka panjang modal insan generasi muda Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Irmohizam, pembentangan RMK12 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar dipuji kerana telah menampakkan suatu usaha kerajaan secara inklusif.
Beliau berpandangan, RMK12 mengambil kira semua keadaan seperti kehendak norma baharu ekonomi masa hadapan, Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan dunia pasca-Covid.
“Ini adalah bagus untuk kemampanan pertumbuhan sosioekonomi negara terutamanya pemulihan drastik ekonomi negara.
“Sememangnya Keluarga Malaysia menantikan usaha sebegini bagi meredakan tekanan yang dialami sepanjang negara dilanda pandemik Covid-19,” katanya.
Irmohizam turut berpendapat, fokus kerajaan dalam menerima guna teknologi baharu dengan usaha mencipta serta membangunkan teknologi sendiri adalah langkah tepat.
Beliau menjelaskan, langkah itu membolehkan negara lebih mandiri dengan mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi negara luar apabila teknologi boleh dicipta dan dihasilkan sendiri secara tempatan, seterusnya membolehkan negara menjana pendapatan sendiri.
“Elemen menangani ketirisan ekonomi juga dapat dilakukan dengan mempraktikkan sistem ekonomi berteraskan teknologi.
“Selain melonjakkan pendapatan negara, ia dapat mengurangkan pengangguran melalui inisiatif Revolusi Industri 4.0 (RI4), MyDigital dan transformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya. – UTUSAN










