PETALING JAYA: Widad Group Berhad memenangi tender bernilai RM244.3 juta untuk projek pembinaan Pakej 3C Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK).
Menurut syarikat itu, anak syarikat milik penuhnya, Widad Builders Sdn. Bhd. (WBSB) telah menerima surat anugerah (LoA) daripada Jabatan Kerja Raya untuk projek tersebut.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Widad berkata kerja-kerja pembinaan untuk projek tersebut akan bermula pada 27 Disember dan akan berlangsung selama 36 bulan.
Pengarah Urusannya, Datuk Dr. Mohd. Rizal Mohd. Jaafar berkata, walaupun dalam suasana yang mencabar, pihaknya tetap aktif mendapatkan projek-projek baharu dan yakin akan menerima lebih banyak projek pembinaan serta pengurusan kemudahan bersepadu tahun ini.
“Dengan kemajuan yang dicapai, kami positif untuk menerajui industri ini sebagai pemain yang kukuh pada masa hadapan.
“Kami juga optimis untuk mencapai hasil prestasi utama dan mengekalkan prestasi kewangan tahun ini,” katanya.
Setakat ini, Widad telah mendapatkan kontrak dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM545.7 juta tahun ini, menjadikan buku tempahan syarikat itu bernilai kira-kira RM1.74 bilion.
Menurut Mohd. Rizal, projek-projek yang telah diperolehi syarikat itu cukup untuk menjadikan mereka sibuk sepanjang tiga hingga lima tahun ini.
“Beberapa kontrak yang diterima pada bulan terdekat ini termasuk kontrak bernilai RM53.2 juta untuk membina sekolah di Bangi, Selangor; projek RM29 juta berkaitan pengurusan kemudahan dan penyelenggaraan Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei dan projek kerajaan negeri Kedah untuk menaik taraf jana kuasa rawatan air di Kuala Muda dan Baling bernilai RM129.4 juta dan RM89.8 juta masing-masing,” katanya.
Menurut Widad, bagi memastikan pertumbuhan berterusan perniagaannya, syarikat itu akan terus melaksanakan strategi tiga penjurunya iaitu merebut peluang melalui bidaan normal, memanfaatkan sinergi kumpulan dan memperoleh aset konsesi jangka panjang. – UTUSAN










