PETALING JAYA: Shopee memberikan RM100 kepada pengguna baharu platformnya dan dompet mudah alih ShopeePay melalui sebuah insiatif dikenali sebagai eDuit.
Ia bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menyertai ekonomi digital, memperluas usaha digitalisasi negara dan membantu orang ramai mengharungi pandemik Covid-19 melalui eDuit.
Menurut Shopee, penerima eDuit akan memperoleh manfaat Kredit ShopeePay bernilai RM25 setelah berjaya mengaktifkan akaun premium mereka, baucar alu-aluan sebanyak RM15 dan baucar ShopeePay bernilai RM60.
“Inisiatif ini khas untuk mereka yang tidak pernah melakukan sebarang pembelian di Shopee sebelum ini.
“Para pengguna mempunyai tujuh hari untuk menggunakan kredit ShopeePay mereka dan hingga 14 hari bagi baucar-baucar luar talian,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Operasi Shopee, Terence Pang berkata, kempen khas eDuit dilancarkan bagi membantu meringankan beban para pengguna serta memberi mereka akses kepada barangan keperluan harian dengan harga berpatutan dalam masa mencabar ini.
Kata beliau, usaha itu juga sejajar dengan agenda digital Malaysia iaitu mendorong digitalisasi dalam sektor peruncitan melalui e-dagang dan transaksi tanpa sentuh.
“Dengan manfaat eDuit dan tawaran menarik 9.9 Hari Pembelian Hebat, rakan-rakan niaga dalam talian dan luar talian kami bakal mendapat manfaat daripada aktiviti penjualan.
“Perbelanjaan oleh pengguna dalam jangka pendek ini juga akan memberi sumbangan positif kepada ekonomi domestik,” katanya.
Kempen Shopee 9.9 Hari Pembelian Hebat sedang berlangsung hingga 9 September ini menawarkan pelbagai manfaat antaranya baucar penghantaran percuma dan pulangan tunai syiling Shopee 99 peratus.
Pengguna juga berpeluang memenangi sebuah Mercedes-Benz baharu dengan mengambil bahagian dalam permainan Main & Menang Mercedes-Benz dengan mengumpul tiket emas setiap hari. – UTUSAN










