RMK12: MDEC tingkat usaha galak digitalisasi PMKS - Utusan Malaysia

RMK12: MDEC tingkat usaha galak digitalisasi PMKS

MAHADHIR AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang menyambut baik fokus kerajaan terhadap pendigitalan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), akan memberi fokus kepada mengurangkan jurang digital dan menarik pelaburan berkualiti tinggi.

Malah kata MDEC, pihaknya juga akan meningkatkan usaha untuk menggalakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengadaptasi teknologi digital dalam pengeluaran, pemprosesan dan perkhidmatan perniagaan, terutama melibatkan operasi perniagaan di belakang tabir.

Usaha itu katanya, selaras dengan matlamat RMK12 yang menyasarkan untuk memacu Malaysia keluar daripada kesan pandemik Covid-19 dan meletakkan ekonomi di landasannya semula.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, fokus dalam pendigitalan PMKS dan meletakkan kedudukan Malaysia sebagai pusat digital ASEAN menerusi RMK-12 telah mengesahkan impak daripada inisiatif berkembar MDEC iaitu #SayaDigital dan Nadi Digital ASEAN.

“Kami akan terus mendorong inisiatif-inisiatif untuk mencapai ekonomi digital yang progresif dan inklusif selaras dengan visi kami dan juga matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” katanya dalam kenyataan.

Menurut MDEC, inisiatifnya seperti eRezeki, eUsahawan dan Global Online Workforce (GLOW) secara kolektif telah menjana pendapatan lebih RM2.153 bilion.

Terbaharu jelasnya, MDEC telah melancarkan program 100 Go Digital Coaching edisi 2021 yang bermatlamat untuk membolehkan perniagaan dalam sektor utama mendigitalkan perniagaan mereka serta kekal kompetitif, mampan dan mencatatkan keuntungan walaupun ketika pandemik

“Tahun ini, MDEC telah menganjurkan kempen Go-eCommerce Onboarding dan Shop Malaysia Online yang akan memberi manfaat kepada 300,000 perniagaan tempatan dengan membantu mereka menyertai platform eDagang dan eBayar.

“Dari 2017 hingga 2020, MDEC telah membantu 489,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengadaptasi eDagang, dengan syarikat yang menggunakan eDagang untuk eksport telah berkembang dari 1,800 kepada 27,000 syarikat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN