RMK12 mampu lonjak sektor pembuatan - Utusan Malaysia

RMK12 mampu lonjak sektor pembuatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilihat mampu melonjakkan sektor pembuatan ke arah mencapai matlamat kadar pertumbuhan purata 5.7 peratus dalam tempoh lima tahun rancangan tersebut.

Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, ia berdasarkan beberapa pemboleh daya, pengubah keadaan dan inisiatif utama yang digariskan kerajaan yang penting untuk menyokong sektor swasta dan sektor tersebut sebagai pemacu utama pertumbuhan negara.

Kata beliau, ia termasuk memangkin industri strategik dan berimpak tinggi yang mampu menarik pelaburan berkualiti tinggi dan mengembangkan asas serta penyertaan eksport negara dalam rantaian bekalan sejagat.

“Menambah baik ekosistem pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) untuk menghasilkan bakat masa hadapan akan menjadi instrumen penting untuk transformasi teknologi, digital dan pembuatan yang telah mula dipercepat.

“Kami memuji perkembangan platform berpusat untuk data bekalan dan permintaan TVET serta pembentukan sistem pendidikan tinggi yang lebih fleksibel untuk meningkatkan kerjasama dengan industri bagi menambah baik kualiti graduan dan memenuhi keperluan industri,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Thian Lai, perdagangan antarabangsa juga kan ditambah baik dengan mengenal pasti pasaran dan produk baharu, meningkatkan kecekapan kemudahan perdagangan dan menaik taraf persaingan industri eksport utama selain menggalakkan kerjasama perdagangan melalui ratifikasi perjanjian perdagangan baharu seperti Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Beliau turut membangkitkan kepentingan usaha meningkatkan produktiviti melalui penggunaan teknologi maju, pendigitalan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi serta pengkomersialan untuk membina daya tahan dan kebolehsaingan industri yang lebih baik.

“(Kita juga perlu) mentransformasikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai pemcu pertumbuhan yang baharu dan melaksanakan beberapa projek infrastruktur dan pembangunan yang akan memberi kesan limpahan kepada sektor pembuatan.

“Sokongan kepada pemandu pertumbuhan hijau seperti mengamalkan ekonomi kitaran dan penggunaan pengurusan sumber air berintegrasi akan menyokong industri untuk bergerak ke arah amalan pembuatan yang lebih mampan dan penggunaan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.

Tegas Thian Lai, pihaknya percaya sebagai pemangkin utama pertumbuhan dengan pertalian huluan dan hiliran yang ekstensif di sepanjang rantaian bekalan, sektor pembuatan boleh menyumbang dengan signifikan ke arah membantu negara mencapai strategi produktiviti, pelaburan, meningkatkan rantaian nilai dan memperkukuh eksport. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN