PETALING JAYA: Hong Leong Bank (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank (HLIB) telah memberi sebanyak RM33.4 bilion untuk pakej Bantuan Pelepasan Pembayaran termasuk bantuan pembayaran balik Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) kepada pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada 17 September lalu.
Bank tersebut telah mengekalkan kadar kelulusan 100 peratus untuk pelanggan yang memenuhi syarat dan telah memohon bantuan pelepasan pembayaran.
Bank itu juga akan terus bekerjasama dengan peminjam untuk memberi bantuan pembayaran kepada mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 memandangkan fasa pemulihan yang berjalan tidak selaras dan ada yang memerlukan masa lebih lama untuk pulih berbanding yang lain.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, pihaknya komited sepenuhnya untuk membantu pelanggan pulih dari wabak tersebut.
“Kami akan terus tabah dalam menyokong pelanggan melalui program bantuan pembayaran itu selama mana yang diperlukan.
“Pembukaan ekonomi dan kadar vaksinasi yang tinggi menunjukkan tanda positif yang kita semua sedang bergerak ke fasa pemulihan.
“Namun, kami sedar pemulihan juga memakan masa dan prosesnya tidak sekata, dengan aliran tunai tetap menjadi kembimbangan utama komuniti perniagaan terutamanya individu dan keluarga yang mengalami kakurangan pendapatan atau kehilangan pekerjaan akibat sekatan perjalanan yang berpanjangan,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, bagi memastikan pihaknya tetap fleksibel dalam memberi sokongan yang betul kepada pelanggan dan bagi memastikan mereka menerima bantuan tepat pada masanya, pihaknya telah memudahkan proses permohonan untuk pelbagai program pembayaran balik secara dalam talian melalui laman webnya.
Domenic memberitahu, pihaknya juga mempunyai polisi tiada penolakan kepada permohonan yang dibuat oleh pelanggan untuk mendapatkan bantuan tersebut.
“Sekiranya mereka memerlukan penilaian dan bantuan bebas, kami akan merujuk kes kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang menyediakan perkhidmatan percuma berkaitan pengurusan wang, kaunseling kredit, pendidikan kewangan dan penyusunan semula hutang untuk individu atau jawatankuasa penyelesaian pinjaman kecil (SDRC) untuk PKS.
“Di samping itu, bank juga memberikan pinjaman dan pembiayaan kepada pelanggan yang mencari modal kerja untuk memulakan semula atau meningkatkan operasi mereka,” jelasnya.
Menurut beliau, ia merangkumi pelanggan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka, mendigitalisasi operasi mereka atau individu yang mencari pinjaman baharu untuk memenuhi keperluan pinjaman peribadi mereka.
Mengulas lanjut, Dominic berkata, selain pulih dari kejutan ekonomi akibat wabak tersebut, PKS juga mesti menangani cabaran struktur jangka panjang yang merangkumi pendigitalisasi dan ketahanan bagi meningkatkan daya tahan pada masa hadapan.
Jelas beliau, hasil dari pandemik itu menunjukkan banyak PKS tidak bersedia untuk menyesuaikan diri dengan cepat dan berisiko meluaskan jurang digital dalam sektor PKS jika dibandingkan dengan syarikat yang lebih besar.
“Oleh itu, kami komited untuk menyokong industri PKS dengan memberi mereka akses kepada pembiayaan serta melengkapkan mereka dengan penyelesaian perniagaan digital.
“Dari Januari hingga Ogos 2021 HLB telah mengeluarkan dana baharu berjumlah RM3.952 bilion kepada pelanggan PKS, bukan sahaja untuk menyokong mereka ke arah pemulihan malah memantapkan perniagaan mereka supaya lebih mampan,” katanya. – UTUSAN










