Prospek pemulihan ekonomi terdekat lebih memberangsangkan - Utusan Malaysia

Prospek pemulihan ekonomi terdekat lebih memberangsangkan

EKONOMI negara dijangka merekodkan pertumbuhan elbih baik selepas lebih banyak sektor perniagaan dibenarkan beroperasi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Prospek pemulihan ekonomi dalam masa terdekat lebih memberangsangkan, disokong pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi secara sistematik di bawah Pelan Pemulihan Nasional (PPN) termasuk aktiviti sosial seperti makan di restoran dan pelancongan.

Perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) kali kedua dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini bagi membincangkan keadaan ekonomi serta situasi fiskal semasa, unjuran fiskal jangka sederhana dan kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan.

Kementerian Kewangan memaklumkan, prospek itu turut dipacu dengan pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan dan bantuan yang tepat pada masanya sekali gus memberikan pemangkin tambahan kepada pemulihan ekonomi berdasarkan indikator ekonomi yang lebih baik .

Katanya, ia seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bulanan kembali berkembang kukuh sebanyak 40.1 peratus dan 19.8 peratus pada April dan Mei lalu berbanding penguncupan 28.8 peratus pada April 2020.

Walau bagaimanapun, katanya, pertumbuhan KDNK bulan Jun merosot 4.4 peratus disebabkan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula pada pertengahan Mei dan Fasa 1 PPN pada awal Jun.

“(Indikator lain ialah) pemulihan dalam pasaran buruh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 4.8 peratus pada Julai lalu berbanding paras tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020.

“Peningkatan jualan sektor pembuatan sebanyak 0.6 peratus kepada RM119.8 bilion pada Julai lalu berbanding penguncupan 33 peratus pada April 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, ia ditunjukkan melalui indikator peningkatan perdagangan luar dengan aktiviti eksport yang berkembang sebanyak 18.4 peratus kepada RM95.6 bilion pada Ogos lalu sementara aktiviti import meningkat 12.5 peratus kepada RM74.2 bilion.

Katanya, kenaikan Indeks Pelopor sebanyak 0.5 peratus pada Julai lalu selepas merosot sebanyak 6 peratus pada April 2020 yang menunjukkan pemulihan ekonomi secara beransur-ansur dalam jangka pendek dan prospek ekonomi bertambah baik menjelang 2022.

Menurut Kementerian Kewangan, sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, pemulihan Malaysia amat bergantung kepada pemulihan ekonomi global terutamanya rakan dagang utama negara.

Oleh itu, katanya, pertumbuhan 2022 dijangka kembali berkembang kukuh seiring dengan pemulihan ekonomi dan perdagangan dunia dalam tempoh separuh kedua 2021 dan tahun hadapan apabila lebih banyak negara mempergiat usaha vaksinasi.

Selain itu, katanya, pelaksanaan langkah rangsangan ekonomi secara berterusan akan menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dijangka kekal kukuh pada 6 peratus berdasarkan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa manakala 5.8 peratus menurut Bank Dunia.

“Dari segi kedudukan fiskal Malaysia, kerajaan meningkatkan sasaran defisit pada tahun ini di antara 6.5 peratus – 7 peratus daripada KDNK berbanding sasaran asal 5.4 peratus selepas mengambil kira suntikan fiskal tambahan bagi empat pakej bantuan yang diumumkan tahun ini iaitu PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA Tambahan dan PEMULIH berjumlah RM225 bilion atau 14.8 peratus daripada KDNK,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan berkata, kerajaan akan membentangkan cadangan untuk meningkatkan had statutori hutang daripada 60 peratus kepada 65 peratus daripada KDNK dalam sidang Parlimen kali ini bagi menyediakan fleksibiliti perbelanjaan dalam situasi krisis pandemik.

Katanya, kerajaan kekal komited terhadap pendirian konsolidasi fiskal dalam jangka sederhana seperti yang digariskan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan defisit disasarkan berkurang kepada 3.5 peratus berbanding KDNK menjelang 2025.

Oleh itu, katanya, Jawatankuasa turut meneliti pelaksanaan pelbagai langkah fiskal dalam mencapai keseimbangan antara keperluan perbelanjaan kerajaan dengan kemampanan fiska termasuk menambah baik kutipan hasil, mempertingkat kecekapan perbelanjaan dan mengurus hutang dengan lebih berhemat.

“Jawatankuasa juga bersetuju supaya konsolidasi fiskal jangka sederhana perlu lebih teguh berbanding perancangan sebelum ini dalam mencapai kestabilan makroekonomi dan fiskal jangka panjang selaras dengan jangkaan pemulihan ekonomi.

“Kementerian Kewangan juga sedang berbincang dan mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan dalam menyediakan Belanjawan 2022 yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN