Prestasi perniagaan pulih namun tetap mencabar - Utusan Malaysia

Prestasi perniagaan pulih namun tetap mencabar

SEKTOR perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, mula pulih selepas pembukaan lebih banyak aktiviti ekonomi. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi kewangan semua sektor perniagaan kecuali perniagaan berkaitan pelancongan bertambah baik pada suku pertama 2021 didorong oleh pelonggaran sekatan pergerakan.

Walau bagaimanapun, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2021 berkata, prestasi itu masih belum pulih ke paras sebelum pandemik.

Menurut BNM, prestasi bertambah baik itu ketara terutamanya dalam kalangan syarikat bersaiz lebih kecil dan sederhana yang lebih terjejas akibat sekatan pergerakan pada 2020.

Katanya, keadaan yang lebih baik itu juga mencerminkan kejayaan yang lebih besar dalam meningkatkan hasil syarikat melalui pendigitalan.

“Pendapatan daripada jualan e-dagang meningkat kira-kira 27 peratus pada separuh pertama 2021 berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Sehubungan dengan itu, urus niaga pembayaran runcit dalam talian meningkat pada kadar yang lebih cepat sebanyak 71 peratus pada separuh pertama 2021 berbanding 69 peratus pada tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Menurut tinjauan tersebut, syarikat bersaiz lebih kecil dan sederhana terus mengekalkan penampan mudah tunai yang lebih besar sebagai langkah berjaga-jaga untuk menangani ketidakpastian persekitaran operasi yang berterusan.

Katanya, deposit perniagaan keseluruhan telah meningkat sebanyak 3.5 peratus sementara median nisbah tunai kepada hutang jangka pendek (CASTD) kekal melebihi purata 2015 hingga 2019 merentas kebanyakan sektor.

“Syarikat juga terus berhati-hati dalam mengambil hutang tambahan memandangkan prospek ekonomi yang tidak menentu.

“Permohonan pinjaman perniagaan terus menguncup pada kadar yang sama seperti dicatatkan pada 2020 (-11.1 peratus kepada -11.2 peratus) manakala bayaran balik pinjaman mengatasi paras sebelum pandemik dengan peningkatan kukuh sebanyak 22 peratus berbanding -4.1 peratus pada 2020,” katanya.

Berkaitan impak pelaksanaan langkah pembendungan pandemik, BNM mendapati pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada akhir duku kedua 2021 mungkin menjejaskan kedudukan kewangan yang sebelum itu bertambah baik, terutamanya dalam kalangan syarikat lebih kecil dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan.

Katanya, ia terbukti daripada bahagian pinjaman yang lebih tinggi di bawah bantuan bayaran balik pinjaman pada akhir Jun merentas kebanyakan sektor perniagaan berbanding Disember 2020.

“Interaksi dan perbincangan dengan industri menunjukkan bahawa syarikat-syarikat dalam sektor yang lebih teruk terjejas akibat sekatan pergerakan terus menghadapi tekanan aliran tunai yang ketara dan akan berhadapan tekanan baharu terhadap keupayaan mereka membayar balik hutang meskipun terdapat peningkatan yang dicatatkan pada suku pertama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN