PETALING JAYA: Land & General Berhad (L&G) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) 46 peratus lebih tinggi untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 pada RM38.3 juta berbanding RM26.2 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya.
Menurut syarikat pembangunan dan pengurusan hartanah itu, keuntungan yang lebih tinggi dicatatkan hasil jualan yang lebih tinggi dan kemajuan pembilan daripada projek Damansara Seresta yang sedang berjalan di Bandar Dri Damansara.
Katanya, ia turut disumbangkan kos pembangunan yang lebih rendah daripada pelengkapan dan penyerahan Astoria Ampang Fasa 1 dan Sena Parc Fasa 1 pada pertengahan tahun kewangan tersebut.
“Kumpulan mencatatkan hasil tahun penuh sebanyak RM134.9 juta pada tahun kewangan ini. Berbanding RM139.7 juta pada tahun sebelumnya, hasil kumpulan pada tahun ini secara marginal lebih rendah.
“Hasil yang lebih rendah itu disebabkan pemilikan kosong diserahkan untuk dua projek, iaitu Astoria Ampang Fasa 1 di Ampang dan Sena Parc Fasa 1 di Senawang, Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut L&G, pihaknya mempunyai tiga projek yang sedang berjalan ketika ini, iaitu Astoria Ampang Fasa 1 merangkumi 506 unit pangsapuri servis di Ampang, Selangor; Sena Parc Fasa 1A merangkumi 163 unit rumah teres dua tingkat dan Fasa 1C merangkumi 54 unit di Senawang, Negeri Sembilan dan Damansara Seresta merangkumi 452 unit kondominium berdekatan Hutan Simpan Bukit Lanjan di Bandar Sri Damansara.
Jelasnya, pemilikan kosong untuk Astoria Ampang Fasa 1 dan Sena Parc Fasa 1A telah diserahkan pada September tahun lalu.
Setakat 31 Ogos lalu, unit yang telah dijual untuk ketiga-tiga projek tersebut adalah sebanyak 390 unit atau 77 peratus untuk Astoria Ampang; 158 unit (97 peratus) Sena Parc Fasa 1A; tujuh unit (13 peratus Sena Parc Fasa 1C dan 288 unit (64 peratus) untuk Damansara Seresta.
“Kumpulan merancang untuk melancarkan dua fasa projek baharu dalam baki tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 iaitu Astoria AMpang Fasa 2 merangkumi 506 unit pangsapuri servis dan Sena Parc Fasa 1D merangkumi 162 unit rumah teres dua tingkat.
“Nilai Pembangunan Kasar (GDV) untuk dua pelancaran tersebut dan termasuk Sena Parc Fasa 1C yang dilancarkan 21 Mei lalu akan melebihi RM450 juta,” katanya. – UTUSAN










