MR D.I.Y. bantu pelajar UM - Utusan Malaysia

MR D.I.Y. bantu pelajar UM

PROGRAM tersebut bertujuan membantu para pelajar membuat persiapan dengan lancar dan mudah kembali ke kampus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berita baik kepada hampir 15,000 pelajar Universiti Malaya (UM) yang bakal kembali ke kampus Oktober ini.

MR D.I.Y. akan menyumbangkan RM300 kepada setiap pelajar bagi membantu mereka membeli barangan keperluan untuk kembali meneruskan pengajian di kampus.

Program #DIY4UM melibatkan pengedaran bantuan tunai sebanyak RM4.5 juta yang dilaksanakan dengan usaha sama Touch ‘n Go melalui platform eWalletnya.

Bantuan tunai itu akan diberikan melalui Touch ‘n Go eWallet mereka dalam tiga kali bayaran sebanyak RM100 setiap kali pada 1 dan 30 November serta 30 Disember.

Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y. Group (M) Berhad, Adrian Ong berkata, program tersebut bertujuan membantu para pelajar membuat persiapan dengan lancar dan mudah kembali ke kampus.

“Pembukaan semula kampus adalah perkara yang penting untuk pelajar universiti. Setelah sekian lama menjalani perintah kawalan pergerakan, mereka akhirnya dapat kembali meneruskan pengajian di kampus untuk mendapat manfaat penuh dari pengalaman pembelajaran secara bersemuka, serta menikmati interaksi akademik dan sosial bersama para pensyarah dan pelajar lain.

“Kami percaya adalah penting untuk memastikan mereka dilengkapi dengan barangan keperluan dari segi perlindungan diri dan untuk pembelajaran agar kekal selamat semasa memberi tumpuan kepada pengajian masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, pelajar akan dapat mempersiapkan diri dengan barangan keperluan pembelajaran, peralatan perlindungan daripada Covid-19 dan pelbagai barangan alat tulis di cawangan-cawangan MR D.I.Y. serta platform dalam talian menggunakan kredit tunai yang diberikan.

Selain itu, katanya, para pelajar juga bakal menikmati promosi pulangan tunai eksklusif sebanyak RM10 apabila mereka membuat perbelanjaan minimum sebanyak RM20 di cawangan-cawangan jenama MR D.I.Y. Group, platform e-dagang www.mr.diy.com.my atau melalui mini program MR D.I.Y. yang didapati pada Touch ‘n Go eWallet.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch ‘n Go Group, Effendy Shahul Hamid berkata, pihaknya amat gembira dengan usaha tersebut yang akan memberi manfaat khususnya kepada pelajar UM.

“Kami bersedia menyokong inisiatif ini dan memuji usaha MR D.I.Y yang tampil membantu semasa kita menghadapi pandemik yang mencabar ini,” jelasnya.

Semua pelajar sarjana muda tempatan di UM layak untuk menerima bantuan itu dengan mendaftar melalui Portal Maya UM dari 3 Oktober ini untuk membuktikan e-wallet Touch ‘n Go yang sah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN