PETALING JAYA: Manulife Investment Management (M) Berhad melancarkan Dana Ekuiti China Syariah yang menawarkan pelabur di Malaysia peluang untuk menyertai ekonomi pascapandemik di China.
Menurut Manulife, dana ekuiti Islam berfokuskan China pertama mereka itu menyasarkan untuk memberikan akses terus kepada pelabur peluang pelaburan luar dan dalam pesisir China.
Katanya, ia termasuk dalam bidang-bidang pertumbuhan struktural seperti pengguna, teknologi, bahan dan penjagaan kesihatan.
“Ia akan melabur sekurang-kurangnya 70 peratus daripada nilai aset bersihnya dalam pelbagai portfolio ekuiti patuh syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti patuh syariah dalam syarikat-syarikat yang bermastautin, tersenarai atau mempunyai operasi signifikan di China.
“Ia termasuk, tetapi tidak terhad kepada saham A, saham H dan syarikat yang bermastautin atau mempunyai operasi signifikan di China tetapi disenarai di negara lain,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Manulife, Jason Chong berkata, dana tersebut menumpukan kepada peluang-peluang yang paling meyakinkan dan mampu memenuhi objektif kewangan pelabur di Malaysia.
Kata beliau, China sudah menjadi pasaran ekuiti kedua terbesar di dunia tetapi kurang diwakili oleh indeks-indeks bermodalkan pasaran antarabangsa.
“Negara itu menyumbangkan kira-kira 33 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia pada 2019 tetapi pemberatnya dalam Indeks Semua Negara Dunia MSCI hanya 5.2 peratus.
“Kita boleh menjangkakan lebih banyak peluang pelaburan di China akan muncul ketika negara itu terus maju dan lebih digunakan dalam indeks-indeks global utama,” katanya.
Menurut Manulife, dana itu ditandaaraskan dengan Indeks FTSE Syariah China yang menawarkan lebih 550 saham merentasi pelbagai sektor dan jenis saham.
Dana tersebut juga, katanya, menyasarkan untuk mencapai penghargaan modal dan sesuai untuk pelabur yang memilih pelaburan patuh syariah, mempunyai sempadan pelaburan jangka panjang dan mahu mendapatkan pendedahan pelaburan di pasaran China.
“Dana ini tersedia dalam Kelas A (RM) dan Kelas A (AS$) dengan pelaburan awal minimun sebanyak RM1,000 atau AS$1,000 serta pelaburan tambahan minimum RM100 atau AS$100. – UTUSAN










