Integrasi pemasaran era internet kebendaan - Utusan Malaysia

Integrasi pemasaran era internet kebendaan

SELURUH dunia berlumba-lumba memperkukuh kemahiran digital untuk terus berdaya saing melalui kaedah serta pendekatan baharu termasuk dalam industri periklanan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kunci kejayaan bagi sesebuah perniagaan antaranya adalah strategi pemasaran bersistematik dan efektif. Sama ada syarikat permulaan, perusahaan kecil dan sederhana atau bertaraf multinasional, memastikan pelan pemasaran yang holistik menjadi elemen penting untuk terus berkembang maju pasaran.
Strategi pemasaran juga adalah landasan jangka panjang dalam pengukuhan visi perniagaan. Oleh itu, ia juga perlu fleksibel terhadap perubahan daya permintaan, trend pengguna dan pengaruh pasaran. Tujuan asas adalah untuk mencapai kelebihan daya saing di samping terus memahami keperluan, kehendak dan motivasi pelanggan bagi memastikan visi perniagaan tercapai.

Pelaksanaan strategi pemasaran juga telah mula menempuh fasa baharu sejak peralihan teknologi analog kepada era teknologi maklumat (IT). Namun ia ketika itu berevolusi secara perlahan ke arah peralihan trend gaya hidup digital. Masyarakat mula menerima kewujudan digital sebagai kemudahan sumber maklumat dan hiburan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kemunculan krisis pandemik sebenarnya menjadi titik peralihan yang membuka mata banyak pihak tentang kepentingan sebenar maksud digitalisasi. Ketika itulah entiti perniagaan menyedari kekurangan dalam persediaan arus persaingan digital. Maka, seluruh dunia berlumba-lumba memperkukuh kemahiran digital untuk terus berdaya saing melalui kaedah serta pendekatan baharu.

Secara realiti, masih belum terlambat bagi sebahagian besar perniagaan untuk bertindak walaupun kesan pandemik ini telah memberi tamparan untuk sedar tentang perubahan teknologi ini. Bermula itu, perancangan dan perangkaan digital dalam aspek pengurusan, operasi termasuk pemasaran menjadi tumpuan utama. Landasan digital menjadi platform penting dalam logistik pemasaran seluruhnya.

Kini, sekali lagi dunia pemasaran di ambang perubahan era internet kebendaan (IoT). Asas ini mula menyaksikan kepentingan pemasaran digital yang mula terintegrasi dengan sebahagian elemen pemasaran tradisional untuk impak pasaran yang lebih efektif. Integrasi ini menjadi pemangkin dalam memperkukuh kredibiliti penjenamaan kepada pelanggan dan prospek pasaran masa hadapan.

Perniagaan kini juga mula bersaing dalam penambahbaikan aspek pemasaran fizikal yang antaranya melibatkan kredibiliti pembungkusan, periklanan luaran dan pasca jualan dalam hubungan psikologi manusiawi kepada pelanggan dan prospek pasaran. Sebahagian besar ruangan ini masih tidak dapat dicapai melalui sistem kecerdasan buatan dan masih memerlukan sentimen komunikasi sehala yang strategik dan kreatif sebagai jambatan pengukuhan digital.

Ini bermaksud, perniagaan kini mula menilai semula aspek penyampaian informasi fizikal melalui sentuhan kreativiti terhadap faktor pembungkusan produk yang turut disertakan dengan maklumat platform digital untuk capaian pengguna seperti laman sesawang, media sosial dan kod imbasan. Integrasi ini menjadi elemen penting dalam usaha memperkukuh dan menarik lebih banyak engagement digital serta memastikan hubungan pelanggan sedia ada terjalin sebaiknya.

Begitu juga dalam integrasi periklanan luaran seperti billboard terus relevan di jalan-jalan utama dan lebuh raya dengan paparan menarik mata beserta maklumat komunikasi digital yang turut sama disertakan. Paduan integrasi periklanan digital kepada capaian peranti prospek dan pelanggan beserta iklan luaran ini turut menjadi elemen pengukuhan penjenamaan dalam dominasi pasaran kini.

Selain itu, kepentingan pasca jualan seperti pemasaran e-mel dan kaji selidik pelanggan juga disertakan dengan paduan kaedah tradisional seperti kiriman brosur atau booklet dalam menjaga psikologi pelanggan. Namun risalah fizikal kini hanya difokuskan kepada pelanggan setia sebagai brand reminder dan sasaran prospek dalam lokaliti tertentu yang disokong dengan risalah periklanan digital perniagaan.

Justeru itu, realiti pasaran hari ini bukan sahaja bergantung kepada kemahiran digital semata-mata, tetapi melibatkan kebijaksanaan dalam mengurus integrasi pemasaran berdasarkan kesesuaian pelanggan dan emosi pasaran. Budaya pasaran kini akan terus berevolusi dengan kadar yang pantas.

PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini