Hasan Arifin dilantik Pengerusi TNB baharu - Utusan Malaysia

Hasan Arifin dilantik Pengerusi TNB baharu

HASAN ARIFIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin dilantik Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) baharu, berkuat kuasa 1 Oktober 2021.

Menurut TNB, Hasan, 68, akan menggantikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang dilantik menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar bermula 30 Ogos lalu.

Jelasnya, bekas Timbalan Menteri Pahang itu telah dilantik menjadi Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad tahun lalu.

Hasan juga katanya, pernah menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang pada 1990 hingga 1999, Pengerusi Lembaga Pembangunan Wilayah Pahang Tenggara (1995-1998) dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) 2015-2018.

“Hasan pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bermula 1991 hingga 1995 dan UDA Holdings Berhad (2010-2015),” kata syarikat utiliti itu dalam kenyataan.

Sementara itu, Hasan, lulusan ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya (UM), mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan atas kepercayaan dan amanah diberikan.

“Dalam memegang jawatan ini, saya bertanggungjawab terhadap semua pemegang saham dan lebih utamanya pemegang amanah,” katanya.

Beliau menegaskan, terdapat lebih 60 peratus saham TNB dimiliki syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kata Hasan, berbekalkan pengalaman luas dalam sektor korporat, beliau akan meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai pimpinan terdahulu yang telah memastikan pulangan dividen adil dan berpatutan kepada semua pemegang saham serta mengekalkan amalan tadbir urus yang baik, telus dan bertanggungjawab.

“Saya berharap Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan akan terus bekerjasama bagi mancapai matlamat yang diinginkan oleh syarikat untuk kebaikan negara,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din pula berkata, pengurusan dan 35,000 warga kerja TNB mengalu-alukan kedatangan Hasan ke TNB.

“Pengetahuan serta pengalamannya yang luas amat bermanfaat untuk inisiatif-inisiatif transformasi TNB serta usaha pemulihan akibat pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN