Eksport meningkat 12 bulan berturut-turut - Utusan Malaysia

Eksport meningkat 12 bulan berturut-turut

KEJATUHAN ringgit dikatakan menjadikan eksport Malaysia lebih menarik. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan pertumbuhan eksport untuk bulan ke-12 berturut-turut sejak September 2020 apabila berkembang 18.4 peratus kepada RM95.6 bilion pada Ogos.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan tersebut disokong oleh eksport domestik yang meningkat 18.7 peratus kepada RM79.1 bilion, menyumbang 82.7 peratus kepada jumlah eksport dan eksport semula yang meningkat 16.7 peratus kepada RM16.5 bilion.

Kata beliau, import pada Ogos lalu pula berjumlah RM74.2 bilion, meningkat 12.5 peratus atau RM8.2 bilion tahun ke tahun.

Ia menjadikan lebihan dagangan Malaysia pada bulan tersebut melonjak 44.7 peratus kepada RM21.4 bilion.

“Seiring dengan aktiviti ekonomi dalam negara yang perlahan, prestasi bulan ke bulan bagi jumlah dagangan, eksport dan import menunjukkan penurunan masing-masing 6.1 peratus, 1.8 peratus dan 11.2 peratus. Sebaliknya, lebihan dagangan meningkat 55.5 peratus.

“Selaras dengan pertumbuhan tahunan, 159 daripada 255 kumpulan barangan untuk eksport menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya. Bagi import, 155 daripada 257 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Jabatan Perangkaan, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM2.4 bilion); Jepun (+RM1.8 bilion); Amerika Syarikat (+RM1.2 bilion); Indonesia (+RM1.1 bilion); Hong Kong (+RM1 bilion); Australia (+RM825.8 juta) dan China (+RM814.8 juta).

Sementara itu, katanya, China terus menjadi penyumbang utama kenaikan import (+RM3.2 bilion) diikuiti oleh Indonesia (+RM1.7 bilion); Kesatuan Eropah (+RM1.5 bilion); Korea Selatan (+RM1.5 bilion) dan Jepun (+RM759.5 juta).

“Peningkatan eksport didorong oleh keluaran petroleum (+RM2.6 bilion); barangan elektrik dan elektronik (+RM2.2 bilion); kimia dan bahan kimia (+RM2.2 bilion); barangan perkilangan logam (+RM1.9 bilion); gas asli cecair (+RM1.9 bilion); minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.4 bilion) serta barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.1 bilion).

“Sementara itu, kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik dan elektronik (+RM3.3 bilion); kimia dan bahan kimia (+RM2.1 bilion); barangan besi dan keluli (+RM1.1 bilion) serta keluaran petroleum (+RM1 bilion),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN