Di mana pelan pemulihan dalam RMK12? - Utusan Malaysia

Di mana pelan pemulihan dalam RMK12?

TAMBANG bas ekspres akan mengalami kenaikan antara 10 hingga 20 peratus menjelang Aidilfitri. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menggariskan banyak indikator yang baik untuk pertumbuhan ekonomi negara, namun dilihat tidak memberi penekanan kepada pelan pemulihan negara daripada impak pandemik Covid-19.

Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa dan Penyelidikan Untuk Kelestarian (IDRIS), Datuk Mohd. Nizam Mahshar berkata, usaha pemulihan daripada pandemik dijangka akan mengambil masa satu atau dua tahun dan ia telah pun meliputi hampir separuh daripada tempoh RMK12.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa tiada penyataan yang jelas, mendalam dan terperinci berkenaan pemulihan ekonomi negara sedangkan sebahagian besar daripada tempoh RMK12 akan diperuntukkan untuk usaha tersebut.

“Apa pemulihan yang saya maksudkan? Contohnya, bilangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang gulung tikar, ranap atau rosak kesan daripada pandemik. Sepatutnya dalam dokumen itu dinyatakan berapa PKS yang sudah gulung tikar, akan gulung tikar, dalam keadaan lemas, tenat dan berapa banyak peruntukan yang diperlukan untuk pulihkan keadaan ini?

“(RMK12) bercakap tentang menangani kesenjangan. Kelompok yang paling terkesan dengan kesenjangan ini ialah kelompok PKS di tahap rendah (seperti) yang kecil, mikro atau nano. Namun, saya tidak nampak pelan pemulihan (dalam RMK-12),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum Ulasan Pembentangan RMK12 yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Dialektika TV.

Turut bersama sebagai panel dalam forum tersebut ialah Penasihat Penyelidik Khazanah Research Institute (KRI), Prof. Jomo Kwame Sundaram dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam forum tersebut, Mohd. Nizam yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (Masa) turut bersetuju dengan pandangan Saifuddin Nasution bahawa kerajaan dilihat bekerja secara terasing antara kementerian-kementerian dalam menyusun rancangan ekonomi negara.

Beliau membangkitkan percanggahan yang wujud antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang menyatakan kerajaan akan bergerak ke arah ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dengan kandungan RMK12 yang disusun oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Saya ada keyakinan bahawa setiap orang (dalam kerajaan) bekerja secara in silo dalam konteks ini.

“Dalam RMK12 bercakap tentang pemindahan teknologi dan pengetahuan (tetapi) dalam CPTPP, perkara ini berada dalam senarai negatif, ada kekangan. Dalam RMK12, bercakap tentang memperbanyak kandungan tempatan tetapi sekali lagi ia bercanggah (dengan CPTTP) jika kita menyekat apa-apa persaingan asing untuk masuk.

“Dalam RMK12 juga menyebut tentang bab integriti halal. Ini ialah halangan teknikal untuk berdagang dalam CPTPP. Saya melihat banyak percanggahan antara hasrat meratifikasi CPTPP dengan (kandungan) RMK12” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN