CPTPP: Negara sukar lindungi rakyat, beri kesan buruk kepada petani - Utusan Malaysia

CPTPP: Negara sukar lindungi rakyat, beri kesan buruk kepada petani

PEMIMPIN daripada 11 negara anggota CPTPP bergambar selepas menandatangani perjanjian perdagangan bebas itu pada 8 Mac 2018. Malaysia masih dalam proses penilaian kesan dan manfaat perjanjian itu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKHIR-AKHIR ini beberapa kumpulan perniagaan dan pihak tertentu dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri giat melobi pimpinan kerajaan agar Malaysia segera meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). 

Walaupun disebut sebagai perjanjian perdagangan, hanya enam daripada 30 bab dalam teks perjanjian adalah berkenaan perdagangan konvensional barangan manakala 24 bab lagi mengandungi peraturan dan syarat berkenaan hal bukan perdagangan seperti harta intelek, pelaburan, perolehan kerajaan, syarikat milik kerajaan, e-dagang, perkhidmatan, alam sekitar dan buruh. 

Perjanjian ini akan memberi kesan yang mendalam kepada sosioekonomi dan sosiobudaya Malaysia serta akan menghalang Malaysia daripada memperkenalkan polisi-polisi baharu yang baik jika ia bercanggah dengan teks CPTPP. 

Dalam konteks pertanian, penternakan dan perikanan, risikonya cukup besar memandangkan Malaysia bukanlah sebuah negara pengeksport utama agromakanan melainkan tanaman komoditi iaitu kelapa sawit. 

 

Kenaikan Kos

Bab Harta Intelek dalam teks CPTPP mewajibkan negara untuk menyertai beberapa perjanjian antarabangsa berkenaan harta intelek yang selama ini tidak disertai Malaysia. Antara perjanjian yang akan memberi kesan langsung kepada petani ialah Konvensyen untuk Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan (UPOV91) yang berkaitan hak pembiak baka tumbuhan dan Perjanjian Budapest yang berkaitan hak paten terhadap mikroorganisma.

UPOV91 mengangkat hak monopoli syarikat dan pembiak baka terhadap biji benih dan bahan penyebaran tumbuhan. Kebanyakan anggota UPOV91 ialah negara-negara maju yang memiliki banyak pembiak baka komersial yang mampu memenuhi syarat-syarat ketat UPOV91 seperti ujian kelainan, keseragaman dan kestabilan (DUS) benih.

Di Malaysia, kita sudah pun ada Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (PVP2004) yang sesuai dengan situasi pertanian di negara ini. PVP2004 mengimbang hak pembiak baka komersial atas usaha inovasi mereka di samping tidak menghalang petani kecil daripada mengamalkan amalan tradisi menyimpan, berkongsi dan menjual benih.

Penyertaan dalam sistem UPOV91 memerlukan kerajaan membubarkan PVP2004 bersama kepentingannya seterusnya menghalang petani daripada menyimpan dan berkongsi benih yang dilindungi. Ini akan membentuk monopoli pasaran selama 20 tahun untuk sesuatu benih dan 25 tahun untuk pokok berkayu yang akhirnya akan meningkatkan harga benih.

Perjanjian Budapest pula membolehkan pihak yang memohon hak paten terhadap bahan biologi seperti mikroorganisma dan bahan genetik tidak menyimpan sampel bahan biologi tersebut di semua negara di mana dia ingin mendapatkan hak paten.

Dalam hal ini, Perjanjian Budapest menjadikannya lebih mudah secara prosedur untuk mendapatkan hak paten terhadap mikroorganisma seperti mikroorganisma efektif (EM) yang banyak digunakan dalam pertanian organik, penghasilan baja biologi daripada najis ternakan dan pemprosesan produk-produk makanan. Hak paten terhadap mikroorganisma ini akan membolehkan syarikat pengeluar memiliki hak monopoli dalam pasaran.

Perjanjian CPTPP akan memaksa petani mengeluarkan kos yang lebih tinggi untuk bahan kimia pertanian kerana bab harta intelek dalam teks perjanjian ini memperuntukkan hak eksklusif pasaran selama 10 tahun kepada pengeluar asal bahan kimia pertanian walaupun ia tidak dipatenkan. Ini kerana pihak kerajaan tidak boleh meluluskan penghasilan, import dan penjualan bahan kimia generik selama tempoh 10 tahun apabila sijil hak eksklusif pasaran diberikan melalui CPTPP. 

Walaupun penggunaan kaedah organik dalam pertanian adalah lebih baik, tidak dapat dinafikan ketika ini para petani di Malaysia sangat bergantung kepada bahan kimia pertanian. Seorang pesawah di Kedah membelanjakan sekitar RM300 hingga RM400 sehektar untuk racun kimia manakala seorang penanam cili komersial pula membelanjakan sekitar RM4,000 sehektar untuk bahan kimia pertanian. Kos ini akan bertambah apabila CPTPP diratifikasi.

 

Alternatif kepada CPTPP

CPTPP bukanlah sebuah perjanjian berkenaan perdagangan semata-mata tetapi juga sebuah perjanjian yang melampaui batas tanggungjawab negara untuk melindungi sosioekonomi rakyatnya. Terdapat banyak dasar-dasar khusus yang dapat digubal oleh pemerintah untuk mengawal aliran perdagangan dengan mana-mana negara di dunia ini supaya adil dan dapat menguntungkan negara. 

Tarif, kuota, subsidi eksport, pengawalseliaan dan insentif seharusnya sentiasa dikemas kini menurut perkembangan ekonomi serantau dan dunia agar dapat menguntungkan rakyat. 

Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan Dasar Agromakanan Negara Kedua seharusnya mampu diperkasakan menurut acuan kita tanpa perlu mengikat kaki dan tangan kepada kuasa ekonomi dan geopolitik asing.

 

*Penulis merupakan seorang penyelidik, aktivis sosial dan koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM). Beliau boleh dihubungi melalui [email protected].

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN