Buka berperingkat, SOP lebih jelas - Utusan Malaysia

Buka berperingkat, SOP lebih jelas

PEMBUKAAN sektor ekonomi secara berperingkat dengan SOP lebih jelas dapat mengekang penularan kes Covid-19, seterusnya membantu pemulihan secara lebih menyeluruh. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memperincikan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas dan mempertimbang pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat berbanding secara umum bagi mengelakkan penutupan semula sekiranya jangkitan kembali meningkat.

Pegawai Penyelidik Badan Penyelidikan untuk Kemajuan Sosial (Refsa), Jaideep Singh dan Lillian Wee berpendapat, setelah pembukaan semula sektor ekonomi, satu proses yang ketat untuk membendung penularan harus dilaksanakan supaya tidak perlu lagi menutup sektor ekonomi secara berulang kali walaupun kes melonjak.

“Sekurang-kurangnya, sekatan pergerakan sepatutnya tidak seketat ketika ketiga-tiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita perlu membina kepercayaan awam secara tuntas supaya para peniaga dan masyarakat yakin dapat menempuh norma baharu ketika negara memasuki fasa pembukaan semula,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, selain pembukaan berperingkat, mereka mencadangkan penerbitan data terperinci merangkumi peringkat daerah dan memperbaharui kategori data penting berkait Covid-19 yang perlu diterbitkan secara harian.

Ujarnya, fasa pembukaan perlu berdasarkan analisis risiko dan sains, bukan menurut sentimen awam seterusnya membina kepercayaan dan menguruskan kebimbangan rakyat mengenai fasa pembukaan sebaik mungkin.

“Pembukaan Institusi Pengajian Tinggi dan Sekolah rendah dan menengah secara selamat, dengan mewujudkan satu SOP menyeluruh supaya seluruh sekolah tidak perlu ditutup hanya disebabkan sebilangan kes yang dilaporkan.

“Kerajaan juga patut membenarkan perjalanan rentas negeri dan pembukaan sempadan secara selamat bagi perjalanan dan pelancongan, khususnya kepada mereka yang sudah lengkap vaksinasi apabila semua negeri telah mencapai 80 peratus populasi dewasa mendapat vaksinasi lengkap,” jelasnya.

Mereka turut mencadangkan setiap kementerian membentangkan Pelan Pemulihan Ekonomi kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pengetahuan awam agar dapat membina semula asas yang lebih baik sebagai sebahagian pelan pemulihan ekonomi.

“Penerangan SOP perlu lebih jelas. Seperti sekarang, SOP untuk pembukaan semula ekonomi masih menimbulkan kekeliruan seperti keupayaan operasi restoran bergantung kepada kadar peratusan pekerja yang telah divaksin.

“Setelah semua sektor dibuka, kita perlu melakukan apa sahaja untuk tidak menutupnya semula. Segala penutupan boleh dilakukan secara bersasar dan ekonomi perlu dibenarkan beroperasi seperti biasa meskipun ada cabaran kecil,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×