‘Jika pegang prinsip, tinggalkan kerajaan’ - Utusan Malaysia

‘Jika pegang prinsip, tinggalkan kerajaan’

pru15
MOHD. RAZLAN RAFII
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP mempunyai pilihan untuk meninggalkan kerajaan sekiranya benar-benar berpegang kepada prinsip dan tidak mahu terus mengelirukan rakyat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, tindakan protes yang dilakukan DAP susulan peletakan jawatan pemimpin mereka sebagai menteri menimbulkan persoalan besar.

“Adakah DAP benar-benar menghormati keseluruhan kerangka Perlembagaan atau hanya menerimanya apabila sesuatu keputusan memihak kepada kepentingan politik mereka?.

“Jika DAP benar-benar berpegang pada prinsip serta tidak mahu terus mengelirukan rakyat, mereka mempunyai pilihan untuk meninggalkan kerajaan.

“Namun, mereka masih mahu mempertahankan jawatan menteri sambil pada masa sama melakukan protes terhadap keputusan yang tidak disenangi.

“Jangan bercakap soal prinsip jika jawatan masih mahu dipertahankan. Jangan mendakwa taat kepada Perlembagaan jika semangatnya hanya dihormati ketika keputusan menyebelahi kepentingan sendiri.

“Rakyat sedang memerhati. Hormatilah Perlembagaan Persekutuan, junjunglah institusi Raja-Raja Melayu dan berhentilah bermain politik dengan asas negara,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan selepas DAP mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, Anthony Loke berkata peletakan jawatan itu hanya membabitkan dirinya, manakala menteri dan timbalan menteri DAP lain akan kekal dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan politik.

Mohd. Razlan berkata, tindakan tersebut perlu dilihat bersama janji yang pernah dibuat pemimpin DAP ketika kempen pilihan raya.

“Yang berjanji hendak melepaskan jawatan adalah Menteri DAP. Ketika kempen, sering berceramah dan berjanji, semua janji di pentas ceramah tidak ditunaikan, ia hanya halwa telinga untuk sedap berkata-kata, ditipunya rakyat depan-depan.

“Jangan bercakap soal prinsip jika jawatan masih mahu dipertahankan. Jangan mendakwa taat kepada Perlembagaan jika semangatnya hanya dihormati ketika keputusan menyebelahi kepentingan sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×