BPB jual Ladang Kulai Young RM429 juta - Utusan Malaysia

BPB jual Ladang Kulai Young RM429 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Boustead Plantations Berhad (BPB) menandatangani perjanjian jual beli dengan SIPP Power Sdn. Bhd. (SIPP Power) membabitkan penjualan Ladang Kulai Young terdiri daripada lima bidang tanah seluas kira-kira 664 hektar dengan pertimbangan tunai sebanyak RM429 juta.

Menurut BPB, Kumpulan dijangka akan memperoleh keuntungan dianggarkan berjumlah RM323 juta setelah cadangan pelupusan selesai yang menghasilkan keuntungan kira-kira RM486,400 per hektar, dan akan meningkatkan nilai bagi pemegang saham kira-kira 14 sen sesaham.

Jelasnya, pertimbangan jualan dicapai berdasarkan kerelaan penjual dan pembeli pada penilaian pasaran tanah itu yang dibuat oleh penilai profesional bebas.

“Mengikut penilaian yang dibuat, harga tersebut kira-kira 10 peratus atau RM39 juta lebih tinggi daripada nilai pasaran tanah dianggarkan berjumlah RM390 juta yang dibuat oleh Tetuan C H William Talhar & Wong Sdn. Bhd,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, penilai telah menggunakan pendekatan perbandingan pasaran dalam menilai Ladang Kulai Young yang merupakan tanah pertanian dengan potensi pembangunan.

Ketua Pegawai Eksekutif BPB, Zainal Abidin Shariff berkata, sejajar dengan Strategi `Reinventing’ BPB, ia adalah peluang baik bagi Kumpulan untuk menjual aset berkenaan.

“Ia akan memberi manfaat kepada Kumpulan, kerana kami dapat membuka nilai aset dan hasil akan digunakan untuk mengurangkan pinjaman dan memenuhi keperluan modal kerja.

“Memandangkan lokasinya yang strategik, mudah diakses dan potensi untuk dibangunkan, BPB mampu melupuskan tanah berkenaan pada harga premium berbanding nilai buku bersih.

“Hasil daripada pelupusan yang dicadangkan akan membolehkan kita mengukuhkan kunci kira-kira untuk pertumbuhan masa depan dengan mengurangkan pinjaman dan nisbah gearing Kumpulan dari 0.48 kali menjadi 0.31 kali,” katanya.

Selepas pembayaran balik pinjaman, Kumpulan dijangka dapat menjimatkan kos faedah kira-kira RM15 juta setahun, jelas BPB.

Sementara itu, SIPP Power, anak syarikat 70 peratus milik YTL Power International Berhad (YTL Power), berhasrat membangunkan tanah tersebut menjadi kemudahan tenaga suria berskala besar dengan kapasiti sehingga 500 megawatt (MW).

Langkah itu sejajar dengan perubahan YTL Power ke arah pelaburan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui yang lebih lestari pada masa hadapan.

Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Yeoh Seok Hong berkata, syarikat telah mencari peluang untuk YTL Power melabur dalam sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan solar pasti menjadi keutamaan kerana negara mempunyai kapasiti solar yang besar.

“Oleh itu, perolehan Ladang Kulai Young sangat strategik bagi kami kerana ia memiliki  kebolehcapaian dan kehadiran dalam perkembangan industri yang tumbuh pesat,” katanya.

Pelupusan yang dicadangkan dijangka selesai pada suku keempat 2021 dan tertakluk kepada syarat-syarat sebelumnya antaranya, kelulusan daripada Lembaga Tanah Ladang dan Unit Perancang Ekonomi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN