PETALING JAYA: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) memberikan tumpuan kepada asas-asas yang tepat seperti pembasmian kemiskinan, merapatkan jurang pendapatan antara kaum dan mengimbangkan pembangunan antara wilayah.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, ia turut dilihat selari dengan konsep Keluarga Malaysia dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dengan penekanan diberikan kepada perkongsian kemakmuran dan keharmonian negara.
Kata beliau, fokus yang diletakkan dalam rancangan jangka masa sederhana lima tahun itu iaitu menyasarkan perbelanjaan kepada program pembangunan modal insan dan projek infrastruktur khususnya di Sarawak amat bertepatan.
“Namun, saya sedikit kecewa kerana mekanisme pengukuran dan laporan tidak diberi penekanan dan dilaporkan.
“Mekanisme pelaporan RMK12 yang hanya mempunyai laporan separuh penggal amat tidak praktikal. Ia harus dinilai dan dilaporkan setiap tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RMK12 di Dewan Rakyat semalam yang antara lain menggariskan empat dasar, empat pemangkin dasar dan 14 pemacu perubahan yang menjadi teras rancangan tersebut.
Menurut beliau, rancangan itu merupakan pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.
Rancangan tersebut turut menyasarkan negara akan mencapai pertumbuhan ekonomi antara 4.5 hingga 5.5 peratus sehingga 2025.
Jelas Baharom, sasaran itu dijangka dapat dicapai jika tiada sebarang kejutan gelombang baharu Covid-19 atau krisis luaran yang lain dihadapi negara dalam tempoh tersebut.
Baharom turut mengulas berkenaan hasrat kerajaan untuk mencipta pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat tempatan dan mengatasi isu kebanjiran pekerja asing berkemahiran rendah dengan menarik pelaburan berteknologi tinggi ke dalam negara.
Kata beliau, di bawah pembangunan modal insan RMK12, tumpuan diberikan kepada pembangunan pekerja berkemahiran teknikal dan vokasional.
“Ini akan memastikan negara mempunyai modal insan yang berkemampuan dan pelaburan luar dapat ditagih dalam bidang yang berteknologi tinggi.
“Ini juga secara langsung akan meleraikan kebergantungan kita kepada pekerja asing berkemahiran rendah secara berperingkat,” katanya. – UTUSAN










